Orang Ramai Perlu Buka Minda, Pentingkan Keselamatan

Orang Ramai Perlu Buka Minda, Pentingkan Keselamatan

JOHOR BAHRU, 15 Sept. – Masyarakat diminta untuk membuang sikap tidak mengambil endah, sebaliknya membuka minda dan menanam kesedaran mengenai keselamatan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday, berkata penguatkuasaan undang-undang berkenaan saman serta kompaun terhadap premis yang mengubah suai bangunan tanpa kelulusan bukan bermotifkan keuntungan.

Selain mendidik minda masyarakat, katanya, saman atau kompaun bertujuan melindungi orang ramai daripada terbabit dengan kejadian tidak diingini sehingga membabitkan kehilangan jiwa.

“Saya terima juga aduan sesetengah orang yang marah kepada kerajaan apabila penguatkuasaan dilakukan dengan saman atau kompaun premis yang tidak ada kebenaran. Ini bukan soal mengaut keuntungan tetapi soal keselamatan semua.

“Jadi, saya ingatkanlah orang ramai, mereka perlu ada kesedaran dan melihat aspek keselamatan ini sebagai elemen utama bagi membendung berlakunya perkara tidak diingini,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Md Jais berkata, kerajaan Johor bersetuju dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang mahukan tindakan segera mengenal pasti semua sekolah berisiko tinggi berlaku kebakaran di negeri ini.

“Sebagai EXCO saya meminta tindakan ini bukan sahaja terhadap bomba, malah membabitkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini terutama untuk memeriksa premis yang tidak memohon atau menghantar pelan bagi melakukan pembinaan atau ubah suai tambahan terhadap bangunan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, Tenaga Nasional Bhd juga perlu bertindak dengan tidak menyalurkan bekalan elektrik kepada premis yang tidak mendapat kelulusan PBT atau bomba bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Semalam, Sultan Ibrahim menitahkan bomba mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti sekolah yang berisiko tinggi berlaku kebakaran di seluruh Johor termasuk madrasah, pusat tuisyen, sekolah berasrama penuh, sekolah rendah dan menengah.

Sultan Johor bertitah, langkah itu bagi memastikan kejadian yang sama tidak berlaku di Johor. – Berita Harian

Leave a Reply