Perjumpaan Najib-Trump, Pembangkang Terkedu

Perjumpaan Najib-Trump, Pembangkang Terkedu

PASIR GUDANG, 13 Sept – Seorang pemimpin akar umbi UMNO hari ini berkata isu siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) terhadap syarikat pelaburan milik kerajaan, 1MDB, merupakan rekaan jahat pembangkang.

Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang Azman Jaafar berkata demikian susulan perjumpaan Perdana Menteri Najib Razak dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam.

Menurutnya, media Singapura melaporkan Najib disambut baik oleh Trump di White House dan diberikan layanan kelas pertama semenjak ketibaannya di AS.

“Kepada mereka yang memahami ilmu bahasa gerak badan (body language), ternyata sambutan dan layanan Trump terhadap Najib menunjukkan betapa mesra dan yakinnya seorang pemimpin dunia terhadap Najib. Perlakuan Trump amat jelas menunjukkan kemesraan di antara mereka berdua bukan dibuat-buat, malah ikhlas dan penuh keyakinan,” beliau berkata dalam satu kenyataan.

Azman menambah bahawa media Singapura turut menyiarkan ucapan Trump tentang peranan besar Najib dan kerajaan Malaysia dalam mengekang dan melawan keganasan di Asia Tenggara.

Laporan media AS bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang boleh diyakini untuk pelaburan di masa hadapan juga menyangkal dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia bakal menjadi negara gagal (fail state) dan muflis.

Beliau turut menggariskan kejayaan Najib dalam membawa pelaburan berskala besar dari luar, dan menekankan bahawa pentadbiran Najib diperakui oleh pimpinan negara besar dunia.

“Sejak merdeka, hanya di zaman Najib, Presiden AS telah datang ke Malaysia sebanyak dua kali dan inilah kali pertama di dalam sejarah tanah air kita, seorang perdana menteri dari sebuah negara yang kerdil telah dijemput secara peribadi oleh Presiden AS!

Pemimpin muda UMNO tersebut turut mendangkal dakwaan Malaysia bakal menjadi negara gagal dan akan muflis dengan laporan media bahawa Putrajaya berminat untuk membeli 25 buah pesawat Boeing 737 bernilai AS$10 bilion dan melabur menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata ini jelas berbeza ketika Malaysia dibawah pemerintahan Mahathir yang menyaksikan penurunan pelaburan dan pasaran saham merudum ketika dunia mengalami kelembapan ekonomi.

“Apa yang jelas sekarang, isu DOJ dan 1MDB sebenarnya adalah cerita rekaan jahat oleh Mahathir dan puak-puak pembangkang terhadap Najib dan kerajaan Malaysia!

“Kepada Lim (Guan Eng) yang menggelar Trump sebagai seorang yang dungu, apakah jika Perdana Menteri Singapura yang juga (akan) menjadi tetamu Trump pada bulan hadapan seorang yang dungu? Hanya orang dungu seperti Lim yang akan bersama dan berjumpa dengan orang yang dungu,” katanya lagi.

Najib sering dikaitkan dengan siasatan DoJ yang kini menjalankan siasatan jenayah melibatkan 1MDB. DOJ sebelum ini memfailkan saman sivil untuk merampas sejumlah aset bernilai AS$1.7 bilion yang menurutnya dibeli menggunakan dana dilarikan daripada 1MDB.

Leave a Reply