Peruntukan RM50 Juta Mengupayakan Pendidikan Di Johor

Peruntukan RM50 Juta Mengupayakan Pendidikan Di Johor

PASIR GUDANG, 11 Sept. – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM50 juta tahun ini bagi melaksanakan pelbagai inisiatif mengupayakan bidang pendidikan di Johor.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata ia termasuk RM1.5 juta melalui Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) bagi program Skim Bantuan Pendaftaran YPJ untuk kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Katanya, untuk tahun ini seramai 2,100 pelajar bakal menerima skim bantuan berkenaan meliputi pelajar yang mengambil diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

“YPJ memperuntukkan RM1.5 juta untuk tujuan ini. Kepada mereka yang mengambil diploma akan menerima sebanyak RM500, manakala yang mengambil Ijazah Sarjana Muda akan menerima sebanyak RM750.

“Tujuannya untuk membantu meringankan beban kewangan ibu bapa. Kita faham apabila anak-anak mendapat tempat di IPTA, ibu bapa perlu keluarkan pelbagai perbelanjaan. Jadi untuk pastikan ini tidak menghalang anak-anak meneruskan pelajaran, maka Kerajaan Negeri melalui YPJ menyediakan skim bantuan pendaftaran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Skim Bantuan Pendaftaran YPJ bagi kawasan Parlimen Pasir Gudang, di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, seramai 156 pelajar menerima Bantuan Pendaftaran YPJ.

Menurut Mohamed Khaled, bantuan YPJ itu berbeza dengan bantuan yang disediakan oleh agensi-agensi lain yang terdapat dalam negara.

Ia merupakan bantuan yang tidak perlu dibayar kembali oleh pelajar.

“Ini adalah sumbangan Kerajaan Negeri, tidak perlu bayar kerana ia adalah cara Kerajaan Negeri tumpang gembira di atas kejayaan anak-anak tuan-tuan,” katanya.

Tambah beliau, selain daripada bantuan itu, Kerajaan Negeri melalui YPJ juga meyediakan bantuan pinjaman pelajaran.

“Kita ada pilihan, pinjam daripada Kerajaan Pusat iaitu PTPTN atau pinjam daripada YPJ. Bagi Kerajaan Negeri, kalau tahun akhir anak-anak kita dapat ijazah kelas pertama, maka kita akan tukar pinjaman itu menjadi biasiswa.

“Ini untuk mendorong anak-anak supaya memberi tumpuan kepada pembelajaran mereka sepanjang berada di universiti,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan beberapa insentif baharu tahun hadapan, khusus untuk membantu anak-anak Johor yang melanjutkan pelajaran ke IPTA. –JAUHAR

Leave a Reply