Kembara Mahkota Johor 2017 Melabuhkan Tirai

Kembara Mahkota Johor 2017 Melabuhkan Tirai

KULAI, 12 Sept — Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 menutup tirainya selepas empat hari berlangsung dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mengetuai kembara mendekati rakyat menerusi konvoi sejauh 808 kilometer di seluruh negeri ini.

Sultan Johor yang memandu kereta beroda tiga Morgan buatan Britain selamat berangkat tiba pada majlis penutup KMJ 2017 di Hutan Bandar, Bandar Putra, di sini, kira-kira 4 petang selepas bertolak dari perhentian sebelumnya di Dewan Semai Bakti Felda Bukit Batu, Kulai.

Ketibaan baginda disambut dengan paluan gendang Cina sebelum menghadiri majlis santapan.

Sementara itu, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Kembara Mahkota Johor pada kali ini meninggalkan tiga mesej penting yang harus dihayati dan dibanggakan.

“Pertama, Kembara Mahkota Johor kini menjadi identiti besar negeri dan bangsa Johor. Kita di Johor sangat berbangga dengan segala kelebihan dan keunikan identiti bangsa kita. Budaya hidup kita yang bermuafakat, warisan seni dan sastera yang pelbagai, selain dikurniakan keindahan alam semula jadi.

“Kedua, Kembara Mahkota Johor merupakan salah satu cara bagaimana agenda pembangunan negeri Johor sentiasa dilakukan secara bersama-sama.

“Dan ketiga, Kembara Mahkota ini menjadi peringatan kepada seluruh bangsa Johor betapa bertuahnya kita dinaungi Sultan yang berjiwa rakyat,” katanya.

Teks ucapan Mohamed Khaled itu dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Md Jais Sarday.

Beliau berkata Kembara Mahkota Johor merupakan satu lagi identiti besar Johor dan satu-satunya acara tahunan tunggal yang tidak ada di mana-mana negeri lain di dalam negara.

“Kita dapat menyaksikan Sultan dan keluarga Diraja mendampingi rakyat dengan cara yang paling istimewa, bukan sekadar di satu tempat, tetapi di seluruh pelosok negeri dalam tempoh beberapa hari secara berterusan,” katanya. -Bernama

Leave a Reply