MB Johor ucap takziah kepada kerabat Diraja Kedah

MB Johor ucap takziah kepada kerabat Diraja Kedah

Johor Bahru, 11 Sept – Kemangkatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Al-Haj ibni Sultan Badlishah merupakan satu kehilangan besar buat negara, menurut Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menteri Besar Johor tersebut berkata satu-satunya Sultan dalam negara yang memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong Malaysia dua kali tersebut merupakan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

“Almarhum Sultan Abdul Halim telah banyak berjasa sepanjang tempoh pemerintahan selaku Sultan Kedah dan juga selaku Yang di-Pertuan Agong Malaysia.

“Almarhum adalah satu-satunya raja Melayu sehingga kini yang pernah menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali dan telah memainkan peranan besar dalam pelbagai lembaran sejarah negara.

“Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama orang yang dikasihiNya,” Mohamed Khaled berkata dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziahnya kepada Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun serta puteri-puteri Almarhum dan seluruh kerabat Diraja Kedah.

Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dilaporkan mangkat di Istana Anak Bukit kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Almarhum dilahirkan pada 28 November 1927 dan merupakan anakanda ketiga Sultan Badlishah Ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Yang Mulia Tunku Sofia Tunku Mahmud.

Leave a Reply