Berdoa di dasar laut #KMJ2017

Berdoa di dasar laut #KMJ2017

Pulau Mensirip, 11 Sept – Doa dibacakan di dasar lautan sebelum pemerintah Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melancarkan replika tukun tiruan terbesar dan logo Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di daerah Mersing semalam.

Kadi tunggal dalam negara yang mempunyai lesen skuba, Kadi Daerah Mersing Mohd Zaini Mohd Salleh diberi mandat untuk membacakan doa di dasar lautan sebelum Sultan Ibrahim menurunkan tandatangannya keatas plak pelancaran majlis tersebut.

Walaupun teruja dengan peluang tersebut, Mohd Zaini bagaimanapun berkata bahawa ia bukanlah semudah yang disangka dan beliau telah mula berlatih sejak beberapa bulan lalu.

“Ia peluang yang jarang diperoleh dan saya syukur berjaya dilaksanakan dengan sempurna ditambah dengan keadaan laut yang tenang ketika itu.

“Saya mula berlatih sejak Mei lalu bagi memastikan kelancaran bacaan doa semasa majlis berlangsung, namun saya mengakui terdapat perbezaan membacakan doa di darat dan juga ketika di dasar laut.

“Perbezaan baca di darat dan laut adalah kita guna alat pernafasan, itu menghalang kelancaran kerana membaca atas darat tiada halangan, doa seperti biasa tetapi di dalam laut saya hanya guna lidah sahaja,” katanya kepada wartawan selepas majlis selesai.
Selepas acara di dasar lautan, Sultan Ibrahim kemudiannya berkenan untuk merasmikan Mersing Harbour Centre, sebuah pusat bersepadu yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Ia juga sebahagian daripada Kembara Mahkota Johor 2017 yang masuk hari ketiga hari ini.

Leave a Reply