DUN Johor Lulus Bajet Tambahan RM44.5 Juta

DUN Johor Lulus Bajet Tambahan RM44.5 Juta

ISKANDAR PUTERI, 7 Sept — Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini meluluskan bajet tambahan sebanyak RM44.5 juta untuk perbelanjaan bekalan tambahan Bajet 2017 bagi menampung keperluan program baharu kerajaan negeri dan projek keutamaan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tambahan peruntukan itu diperoleh daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan perkhidmatan 2017 yang tidak diperuntukkan sepenuhnya oleh Enakmen Perbekalan (2017) Tahun 2016.

Menurut beliau, peruntukan tersebut mencakupi RM266,000 untuk Muzium Diraja Abu Bakar Istana Besar Johor; RM30 juta (perbelanjaan projek pembangunan di bawah Pejabat Menteri Besar Johor); RM37,000 (Jabatan Mufti); dan selebihnya untuk dua pejabat daerah dan enam pejabat tanah.

“Peruntukan tambahan ini tidak dapat ditangguhkan tahun depan sebab ada keperluan segera berasaskan perkembangan sosial dan ekonomi setempat.

“Sambil itu, terdapat permintaan mendesak yang sekian lama diusulkan masyarakat tempat seperti projek menaik taraf dan membina jalan baharu di kampung seluruh Johor dan keperluan proses pengambilan semula tanah bagi tujuan penempatan semula penduduk, serta projek menaik taraf beberapa jalan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap menggulungkan usul Enakmen Perbekalan Tambahan 2017 pada mesyuarat kedua penggal kelima persidangan DUN Johor ke-13 di sini, hari ini.

Menurutnya, permintaan-permintaan yang diusulkan rakyat selama ini termasuk proses pengambilan balik tanah bagi tujuan penempatan semula penduduk ladang Mengkibol, Kluang; projek menaik taraf jajaran laluan Johor Bahru-Ayer Hitam KM38 hingga 40; Jalan Parit Ibrahim dan Parit Jawa Pontian serta naik taraf jalan daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala dari Taman Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya sepanjang 2.2 km.

Terdahulu, ketika membentangkan peruntukan terbabit, berlaku pertikaman lidah kira-kira 30 minit antara Mohamed Khaled dan dua wakil pembangkang iaitu Tan Chen Choon (DAP-Jementah) dan Tan Hong Pin (DAP-Mengkibol).

Kekecohan berlaku dipercayai kerana kedua-duanya salah faham berhubung penyaluran peruntukan tambahan kepada Pejabat Menteri Besar Johor sehingga menyebabkan ketidakpuasan hati.

Namun, menurut Mohamed Khaled, peruntukan tambahan itu disalurkan untuk projek pembangunan dikendalikan di bawah pejabatnya dan bukan seperti dibayangkan pembangkang.  -Bernama

Leave a Reply