ATM Pantau Secara Dekat Isu Rohingya – Hishammuddin

ATM Pantau Secara Dekat Isu Rohingya – Hishammuddin

PETALING JAYA, 7 Sept  – Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  memantau secara dekat perkembangan isu penindasan masyarakat minoriti Islam Rohingya di Rakhine, Myanmar, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata beliau telah mengarahkan Panglima ATM Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor untuk mencari jalan bagi membantu pelarian Rohingya di Myanmar dan Bangladesh.

“Penting kami lakukan perkara ini kerana dua sebab. Pertama bersandarkan kepada aspek kemanusiaan dan yang kedua adalah aspek keselamatan pertahanan negara,” katanya kepada pemberita selepas menghantar kumpulan pertama 215 anggota Batalion Malaysia (Malbatt) 850-5 berlepas ke Lubnan di Pangkalan Udara TUDM Subang.

Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri berkata sekiranya  ATM tidak mendekati pelarian Rohingnya, kecenderungan untuk mereka mendekati kumpulan ekstremis adalah tinggi.

“Saya bimbang bahawa mereka menjadi kumpulan sasaran ekstremis dan militan kerana itulah kami menjalin kerjasama dengan kepimpinan Filipina menangani isu berkenaan,” katanya.

Beliau juga percaya sekiranya pelarian Rohingya tidak dibantu, akan ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap mereka untuk dieksploitasikan.

“Ini  kerana Daesh (kumpulan militan) memang ada perancangan untuk bertapak di rantau negara ini dan ATM sentiasa memantau perkara ini,” katanya.

Leave a Reply