Pemuda UMNO Segamat Anjur Karnival Gempak Ria Pada 9-10 September ini

Pemuda UMNO Segamat Anjur Karnival Gempak Ria Pada 9-10 September ini

Oleh: Raisha Ukasyah

SEGAMAT, 6 Sep – Seramai 5,000 orang dijangka bakal memeriahkan Karnival Gempak Ria Parlimen Segamat yang bakal berlangsung selama dua hari di dua tempat berbeza iaitu 9 September di  Padang Awam Jementah manakala 10 September di Tapak Pasar Tani Taman Yayasan.

Karnival yang dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Segamat dengan kerjasama Nasional Blue Ocean Strategy (NBOS) bakal menyajikan pelbagai program menarik, mencakupi kehendak masyarakat setempat.

Ketuanya, Bastein Onn berkata, karnival yang mendapat kerjasama dari pelbagai agensi tempatan ini bakal membuka ruang dan peluang kepada penduduk dalam Parlimen Segamat bagi mendapat perkhidmatan secara bergerak dan hampir dengan mereka tanpa perlu ke jabatan yang berkenaan.

“Antara agensi yang terlibat adalah PTPTN, KWSP, Yapiem dan Jabatan Pendaftaran Negara. Mereka yang hadir kelak boleh mendapat perkhidmatan yang diperlukan dengan mudah terutama bagi mereka yang kurang upaya fizikal dan kewangan.

“Selain itu karnival ini juga membuka peluang keusahawanan kepada penduduk tempatan melalui penglibatan ushawan dan Car Boot Sale (CBS) yang meniaga makanan, minuman dan produk IKS,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah Bastein, karnival ini juga akan memberi penerangan serta kesedaran kepada rakyat mengenai dasar, program dan aktiviti kerajaan melalui Kementerian dan agensi berkaitan.

“Kita juga menyediakan platform untuk membolehkan bantuan kerajaan disalurkan terus kepada kumpulan sasaran.

“Selain itu, pelbagai aktiviti menarik juga telah disusun seperti Jementah Bike Day, 10,000 langkah, sukaneka Kursus pendek hiasan kek, servis motosikal percuma dan juga Wira Flag Off,” terangnya.

Oleh itu, beliau berharap warga Segamat dan sekitarnya akan datang beramai-ramai bagi memeriahkan karnival ini dan mengambil peluang yang ada sebaik-baiknya.

Leave a Reply