Kekuatan BN Bukan Hanya Kepada UMNO Tetapi Semua Parti Komponen – Anuar

Kekuatan BN Bukan Hanya Kepada UMNO Tetapi Semua Parti Komponen – Anuar

SEKIJANG, 6 Sept – Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abd Manap berkata, Barisan Nasional (BN) hari ini memerlukan kekuatan bukan sahaja daripada UMNO tetapi daripada keseluruhan parti yang ada dalam BN itu sendiri bagi memastikan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Jelas beliau, bukan hanya UMNO yang perlu bersiap sedia tetapi parti-parti komponen dalam BN juga perlu bersama-sama untuk menanamkan keyakinan rakyat bagi memastikan bahawa BN terus menjadi pilihan pada PRU-14 nanti.

“BN adalah parti yang ditunjangi oleh parti-parti komponen lain bagi membentuk kesatuan yang menggambarkan kemajmukan masyarakat Malaysia untuk membentuk sebuah kerajaan, maka kita tidak boleh semata-mata berharap kepada UMNO kerana sekarang ini kita memerlukan kerjasama daripada semua parti dalam BN bagi menambah kekuatan parti.

“Semua parti dalam BN harus turun ke bawah untuk bekerja dan melihat setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) supaya masing-masing dapat bergerak secara seiring dan paling penting adalah kerjasama dari semua peringkat agar segala maklumat dan data berkaitan pengundi dapat terus disampaikan.

“Oleh itu parti komponen harus sentiasa bersedia dengan tidak memberi peluang kepada pihak lain untuk memenangi hati rakyat. Percayalah sekiranya parti-parti komponen termasuk UMNO dapat bergabung dan bersatu dalam BN maka tentunya kita semua akan dapat memastikan pengundi, isu setempat dan apa sahaja perkara berbangkit dapat diselesaikan bersama. Insya-Allah BN akan menang besar pada pilihan raya akan datang,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Ujar beliau, parti komponen tidak boleh mudah terasa hati sekiranya ditegur kerana ia adalah demi kebaikan bersama dan bukan semata-mata kerana UMNO malahan UMNO juga terbuka menerima teguran.

“Kita bergerak dalam satu nama iaitu BN yang berlogokan ‘dacing’. Kita tidak bergerak secara individu, oleh itu sudah sampai masanya parti-parti komponen termasuk UMNO sendiri memberi kerjasama terbaik kerana pilihan raya sudah semakin hampir.

“Kita tidak boleh lagi berasa selesa… senario politik masa kini telah berubah. Sekiranya kita tidak memberikan yang terbaik maka tidak mustahil kita akan hilang kuasa,” tegasnya lagi. – UMNOOnline

Leave a Reply