Gelang Patah Pun Diabaikan… Kit Siang Ada Hati Nak Tingkatkan Ekonomi Johor?

Gelang Patah Pun Diabaikan… Kit Siang Ada Hati Nak Tingkatkan Ekonomi Johor?

JOHOR BAHRU, 6 Sep – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Liang Teck Meng menyelar kenyataan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang yang berkata Dap berjanji untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita Johor jika mereka mengambil alih negeri itu pada pilihan raya yang akan datang.

Menurutnya, Johor tidak memerlukan Dap untuk meningkatkan ekonominya kerana ia kini bertumbuh dengan lebih pesat dan mendahului Pulau Pinang yang ditadbir mereka dalam semua aspek.

“Sekiranya YB Lim kerap balik, beliau tidak akan gagal melihat perkembangan pesat yang bukan saja di Gelang Patah tetapi juga di seluruh Johor.

“Di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Khaled Nordin, Johor telah mendahului Pulau Pinang dalam semua aspek sejak Dap mengambil alih Pulau Pinang pada tahun 2008.

“Dari segi angka KDNK per kapita yang disebut oleh Lim Kit Siang, KDNK per kapita Johor telah meningkat sebanyak 57.5% dari tahun 2008 hingga tahun 2015 berbanding dengan Pulau Pinang hanya 42.9%,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mengikut angka yang diumumkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang pada hujung tahun lepas, Pulau Pinang menduduki tempat ketiga paling rendah dari segi pertumbuhan KDNK per kapita di kalangan 15 negeri dan wilayah di Malaysia dalam tempoh lapan tahun sejak Dap mengambil alih Pulau Pinang.

Akibatnya, sejak tahun 2008, Johor telah mendahului Pulau Pinang dari segi pendapatan isi rumah bulanan median dan gaji median. Malah, Melaka juga mendahului Pulau Pinang dari segi pendapatan isi rumah bulanan median dalam tempoh yang sama, katanya lagi.

“Menurut angka rasmi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sejak Kit Siang menjadi Ahli Parlimen Johor pada tahun 2013, Johor telah mendahului kedudukan Pulau Pinang dalam setiap tahun dari segi jumlah pelaburan yang diterima.

“Bagi tahun 2013 hingga tahun 2016, Johor telah berjaya menarik pelaburan sebanyak RM93.1 bilion atau lebih empat kali ganda berbanding dengan RM23.1 bilion yang diperolehi oleh Pulau Pinang,” ujarnya.

Menurut Setiausaha Agung Gerakan itu lagi, dari segi kewangan kerajaan negeri, Johor juga jauh mendahului Pulau Pinang dengan rizab Johor yang meningkat sebanyak 13 kali ganda dari RM201.5 juta pada tahun 2008 ke RM2.63 bilion pada tahun 2015.

“Ini jauh mengatasi pertumbuhan rizab Pulau Pinang dari RM1.03 bilion pada tahun 2008 ke RM1.53 bilion pada tahun 2016 – meskipun selepas penjualan tanah, hak dan aset negeri yang bernilai berpuluhan bilion.

“Walau bagaimanapun, terdapat satu aspek di mana Pulau Pinang berjaya mengalahkan Johor iaitu dari segi peningkatan perbelanjaan operasi negeri.

“Perbelanjaan tahunan negeri Pulau Pinang bagi tahun 2017 ialah sebanyak RM1.45 bilion – atau 500% berbanding dengan saiz yang ada pada tahun 2008 sebanyak RM283 juta berbanding dengan perbelanjaan negeri Johor yang sebanyak RM1.61 bilion bagi tahun 2017 – kurang daripada dua kali ganda dengan RM883 juta yang dibelanjakan pada tahun 2008,” katanya.

Justeru katanya juga dari segi membelanjakan wang dan meningkatkan kos operasi tahunan, Kerajaan Dap Pulau Pinang adalah lima kali ganda lebih hebat daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor.

“Ini bermakna kos kerajaan negeri Dap untuk mentadbir Pulau Pinang hampir sama dengan kos untuk mentadbir Johor.

“Ini kerana Johor di bawah pentadbiran yang baik dengan projek kerajaan negeri BN, tidak seperti Pulau Pinang, Johor tidak membelanjakan RM220 juta untuk ‘laporan’ bagi projek lebuhraya yang terbantut selama tiga setengah tahun sebelum memulakan pembinaan atau membina lebuh raya seperti Pulau Pinang Link-1 yang memakan kos sebanyak RM385 juta bagi setiap kilometer, ia merupakan lebuh raya yang paling mahal di Malaysia setakat ini,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, kilang dan pelaburan juga tidak meninggalkan Johor dengan magnitud yang sama seperti yang dapat diperhatikan di Pulau Pinang – seperti penutupan kilang-kilang besar pada kebelakangan ini yang melibatkan Seagate, Western Digital dan banyak lagi nama lain yang terkenal yang telahpun bertapak di Pulau Pinang selama beberapa dekad sebelum Dap mengambil alih, katanya.

“Secara jelasnya, Johor adalah lebih baik daripada Pulau Pinang dan tidak memerlukan Dap untuk maju.

“YB Lim Kit Siang dan YB Liew Chin Tong dinasihatkan supaya menawarkan ‘kepakaran’ mereka untuk membantu Kerajaan Dap Pulau Pinang bagi mengejar Johor sebelum mereka bercadang untuk membantu Johor dan membuat janji kosong sedangkan mereka sedar bahawa Dap akan gagal untuk menunaikan janji mereka,” tambahnya lagi.

Leave a Reply