Beberapa Kawasan JB, Kulai Alami Gangguan Bekalan Air

Beberapa Kawasan JB, Kulai Alami Gangguan Bekalan Air

JOHOR BAHRU, 4 Sept — Beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini dan Kulai mengalami gangguan bekalan air mulai semalam disebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Semangar dekat Kota Tinggi gagal  beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata loji terbabit berhenti beroperasi mulai 4.20 petang semalam disebabkan bekalan elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) terputus.

“Beberapa kawasan yang mengalami gangguan bekalan air itu melibatkan Kempas, Tampoi, sebahagian Skudai dan kawasan Iskandar Puteri serta Kulai yang merangkumi kawasan Senai.

“Kesemua yang terjejas membabitkan 126,171 akaun pengguna,” katanya.

Hasni berkata sehingga kini, LRA Semangar masih tidak dapat beroperasi kerana bekalan tenaga elektrik masih belum diterima.

Beliau berkata pihak TNB Kota Tinggi memaklumkan berlaku kerosakan serius pada bekalan elektrik untuk kawasan Semangar termasuk ke LRA Semangar, namun, tidak dimaklumkan terperinci kerosakannya.

Katanya bagi menangani masalah itu, pihak TNB buat masa ini menghantar dua unit set generator dengan seunit daripadanya untuk kegunaan kawasan Semangar dan seunit lagi bagi keperluan domestik Kampung Semangar Dalam, kuarters dan kawasan sekitarnya.

Menurut Hasni, pada masa sama, usaha membaik pulih tenaga elektrik itu sedang giat dijalankan.

Sehubungan itu, mereka yang terjejas boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi talian mesra SAJ Info Centre di 1 800 88 7474 atau hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) di talian 019-7727474, katanya. -Bernama

Leave a Reply