Artikel Tidak Berasas: KKM Diminta Ambil Tindakan Undang-Undang

Artikel Tidak Berasas: KKM Diminta Ambil Tindakan Undang-Undang

JOHOR BAHRU, 1 Sept – Kementerian Kesihatan diminta menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah portal berita Singapura yang melaporkan artikel tidak berasas mengenai kematian seorang rakyat negara itu di sini, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata pihaknya kesal dengan penyiaran berita terbabit yang tanpa fakta benar kerana ia memberi tekanan terhadap motivasi warga kerja Jabatan Kesihatan di negeri ini.

“Saya kesal dengan penyiaran berita seperti ini. Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak agar menghormati profesyen sektor kesihatan terutama di Johor dengan tidak memberi gambaran negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk artikel The Independent semalam yang menyebut ambulans Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini lewat memberikan respon sehingga 30 minit terhadap laporan kemalangan membabitkan seorang rakyat Singapura pada 25 Ogos lepas.

Artikel itu mendakwa kelewatan itu menjejaskan usaha untuk membawa mangsa berusia 25 tahun itu mendapatkan rawatan di hospital pada kadar segera.

 

Selain itu, artikel berkenaan mendakwa pihak HSA menuntut sejumlah wang deposit daripada keluarga mangsa sebelum membenarkan sebarang rawatan dijalankan.

Ayub berkata pada dasarnya, petugas Jabatan Kecemasan di semua hospital kerajaan tidak memohon pembayaran lebih awal sebelum apa-apa rawatan dijalankan untuk kes-kes kritikal termasuk yang melibatkan warga asing.

“Saya menafikan kes ini disebabkan kelewatan ambulans atau masalah pembayaran. Pihak hospital akan sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk semua pesakit yang mendapatkan rawatan,” katanya. -Bernama

 

Leave a Reply