Ekspo Johor Berkemajuan Dedah Pembangunan Johor Selama 60 Tahun

Ekspo Johor Berkemajuan Dedah Pembangunan Johor Selama 60 Tahun

JOHOR BAHRU, 31 Ogos — Penganjuran Ekspo Johor Berkemajuan di Dataran Mahkota, Kota Iskandar pada Oktober ini diharap dapat mendedahkan perjalanan pembangunan Johor selama 60 tahun kepada segenap rakyat di negara ini.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia juga disasar untuk menerangkan hala tuju yang bakal diambil oleh kerajaan negeri dalam memajukan Johor pada masa depan.

Katanya, sebagai kerajaan yang memerintah, adalah perlu untuk pihaknya berkongsi serta mempersembahkan pembangunan Johor kepada seluruh rakyat Johor dan Malaysia supaya mereka dapat memahami perkara-perkara penting termasuk mengenai apa yang kita telah capai dan cabaran-cabaran dalam mencapainya.

“Ekspo ini juga menjelaskan ke mana Johor ini akan kita bawa. Apakah bentuk masa depannya. Apakah cabarannya. Biar semua orang tahu, terutama generasi muda Johor dan Malaysia bahawa kita sentiasa memandang ke hadapan.

Kita sentiasa merancang pelan terbaik untuk Johor dan Malaysia. Kita tidak pernah berasa puas dan cukup untuk memberi kepada Johor dan Malaysia yang kita cintai,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pra Pelancaran Ekspo Johor Berkemajuan dan Majlis Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2017 peringkat negeri di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, ekspo ini turut diharap dapat membangkitkan rasa ghairah dan keterujaan seluruh rakyat Johor dalam memberi dan menyumbang lebih banyak lagi kepada kerajaan, sama ada pusat mahupun negeri.

Pada hujung Jun lepas, Mohamed Khaled dalam satu majlis berbuka puasa berkata ekspo itu yang berlangsung dari 6 hingga 14 Okt akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia memberi peluang kepada kerajaan negeri serta agensi terlibat untuk menyampaikan maklumat secara langsung akan pencapaian semasanya kepada rakyat di seluruh negeri bagi meningkatkan keyakinan mereka.  — BERNAMA

Leave a Reply