Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-60

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-60
  1. Dari pelosok kampung – kampung hingga ke bandar, tidak sesekali putus rentetan bendera Malaysia yang bersilih ganti dikibarkan, seolah – olah ianya seperti satu momentum yang menggalas semangat patriotisme rakyat Malaysia ke seluruh negara bagi menyambut tibanya hari kemerdekaan.

  2. Menjelang genapnya 60 tahun Malaysia menggarap kemerdekaan, nilai perpaduan yang dipupuk dan disuburkan ini, adalah hasil daripada asimilasi budaya dan nilai toleransi kemasyarakatan yang merentasi pelbagai kaum dan agama.

  3. Ini dapat dilihat dengan lebih jelas bagaimana rakyat Malaysia begitu bersatu padu di dalam merencana agenda perpaduan melalui pelbagai cara khususnya dalam bidang seni, budaya, dan semangat kesukanan. Dengan elemen inilah, tiang seri perpaduan yang dibina kebanyakkannya berputar sekitar golongan seni, ahli sukan, dan rakyat kebanyakkan.

  4. Suka saya simpulkan bahawa uniknya patriotisme rakyat Malaysia ini, kerana ianya tersemat pada dua komponen utama, iaitu melalui seni dan budaya, serta semangat kesukanan.

  5. Elemen seni dan budaya sebagai satu metode perpaduan ini dapat dilihat dengan jelas, bagaimana rakyat Malaysia dari pelbagai kaum cukup ‘familiar’ dengan karya – karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Kebanyakan karya filemnya mengenai permasalahan yang merangkumi semua kaum di Malaysia. Sifat kekitaan yang ditonjolkan di dalam filem beliau, sedikit sebanyak memberi gambaran sebenar masyarakat Malaysia pada ketika itu.

  6. Tan Sri P. Ramlee menghasilkan filemnya seolah-oleh mentadbir sebuah negara, memimpin para penonton di dalam mempelajari mencintai bangsa dan negara dengan memaparkan nilai – nilai patriotisme, ia dilandaskan dengan pemikiran semua kaum yang diintegrasikan oleh beliau bagi membentuk satu acuan bangsa.

  7. Semangat perpaduan di antara kaum ini dapat dilihat dan dihayati di dalam filem Sesudah Subuh, Sarjan Hassan, Gerimis, Seniman Bujang Lapok, Semerah Padi, Madu Tiga dan lain – lain. Dengan membariskan pelakon bukan melayu di dalam filemnya, sedikit sebanyak memberi impak di dalam kehidupan masyarakat yang harmoni di Malaysia.

  8. Filem merupakan wadah paling dekat dengan masyarakat, kerana pendedahan dibuat dengan cepat dan pantas sehingga kesan penerimaannya juga bersifat segera.

  9. Seterusnya, sukan sebagai salah satu elemen pemangkin semangat perpaduan dalam masyarakat Malaysia, bukanlah perkara yang asing lagi, ini dapat dilihat melalui penganjuran Sukan SEA 2017, ianya umpama ‘amplyfing effects’ menjelang tarikh kemerdekaan negara kita pada tahun ini. Rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat, malah merentasi pelbagai kaum, mahupun ideologi, bersama – sama sepakat memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada atlet Malaysia.

  10. Jika kita lihat kembali sejarah sukan negara kita, dengan mengambil contoh pasukan bola sepak negara suatu ketika dahulu. Ianya dibarisi oleh pemain – pemain yang hadir daripada pelbagai kaum seperti Mokhtar Dahari, Santokh Singh, Soh Chin Aun dan R. Arumugam, gandingan muhibbah ini bukan sahaja menempah nama Malaysia di persada dunia, malah menjadi satu ikon menyatupadukan masyarakat Malaysia pada waktu itu.

  11. Sukan mempunyai nilai murni yang boleh melahirkan generasi cergas. Sihat bukan sahaja dari segi fizikal dan rohani, tetapi keupayaan mengukuhkan kesejahteraan pelbagai masyarakat dalam memastikan perpaduan terus utuh. Ianya juga mampu menjadi sebahagian daripada proses meraikan kepelbagaian kelompok etnik yang ada di negara kita.

  12. Akhir kata, bagi menjayakan perpaduan di dalam sebuah negara, rakyat perlu berkorban dengan memelihara, menjaga hak dan sensitiviti semua kaum. Hormati agama, maruah, serta budaya masyarakat lain, bertolak ansurlah dengan jiran serta ahli masyarakat umumnya.

  13. Dedikasikan sebuah pergorbanan untuk negara, dan setiasa menjadi rakyat yang positif dan menghindari gejala yang merosakkan negara.

  14. Jadikanlah segala perbezaan diantara kita sebagai sebuah keunikan di dalam berbangsa dan bernegara, seperti bendera Malaysia, ianya tersemat indah dengan 4 warna yang berbeza. Jangan pernah menjadikan sebuah perbezaan sebgai suatu kesombongan, kerana kelak ia membinasakan.

Selamat Ulang Tahun Kemerdekaan yang Ke-60 Malaysia, dan Selamat Hari Raya Adil Adha.

Hahasrin Hashim
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor
30 Ogos 2017

Leave a Reply