Negaraku Sehati Sejiwa Bertepatan Dalam Senario Malaysia Hari ini

Negaraku Sehati Sejiwa Bertepatan Dalam Senario Malaysia Hari ini

JOHOR BAHRU, 30 Ogos – Sambutan Hari Kemerdekaan negara yang bakal disambut pada Khamis ini seharusnya menjadi wadah kepada seluruh rakyat negara ini untuk memastikan apa yang dikecapi serta dicapai pada hari ini bukan sahaja dapat dipertahan malah terus ditingkatkan.

Setiausaha Wanita UMNO Johor, Haslinda Salleh berkata penetapan tema Negaraku Sehati Sejiwa cukup sinonim dan amat bertepatan sekali dengan senario dan suasana Malaysia yang mengharapkan seluruh rakyatnya bukan sahaja bersatu padu malah sehati sejiwa di antara dengan yang lain.

Menurut beliau inilah masanya untuk rakyat Malaysia bersatu hati dan menyatakan keazaman masing-masing terhadap negara kerana tentunya segala pencapaian dan segala kegemilangan yang dicapai tidak mampu dinikmati seandainya perkara tersebut diketepikan.

“Alhamdulillah…marilah kita sama-sama mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t atas anugerahnya terhadap negara kita yang kita cintai ini. Bagi kami, segala pencapaian yang ada hari ini bukannya datang secara bergolek tetapi adalah usaha kita bersama.

“Kerjasama dan sokongan rakyat terhadap pelbagai usaha kerajaan dalam membangunkan negara dan melaksanakan amanahnya adalah perkara penting yang perlu dinilai dan dihayati bersama. Temanya amat bertepatan dengan apa yang kita capai hari ini,” katanya kepada UMNO-Johor.

Haslinda seterusnya menegaskan secara kebetulan dengan pencapaian yang dicapai oleh barisan atlet negara pada sukan SEA ke-29,sambutan kemerdekaan negara kali ini cukup manis dan amat bermakna sekali.

“Sukan SEA telah menyatukan kita semua yang mana seluruh rakyat mendoakan kejayaan atlet kita dan kejayaan menjuarai sukan SEA ke-29 cukup-cukup bermakna. Jelas Negaraku Sehati Sejiwa dan Bangkit Bersama kombinasi yang penuh makna kepada kita semua,” katanya.

Leave a Reply