Jangan keluar masuk UMNO kerana jawatan

Jangan keluar masuk UMNO kerana jawatan

SRI GADING, 27 Ogos -Ahli UMNO digesa untuk tidak mengejar jawatan dan kepentingan diri sebaliknya haruslah komited dengan landasan perjuangan parti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abd Ghani berkata, sikap terlampau mahukan jawatan hanya akan melemahkan parti.

“Apabila kita memperjuangkan parti, kita kena memperjuangkannya secara penuh kesabaran dan keikhlasan sambil terus berusaha memperbaiki apa yang kita rasakan lemah.

“Bukan dengan cara kita keluar atau lari daripada parti apabila tiada jawatan, kemudian masuk semula ke dalam parti,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Sri Gading.

Beliau mengambil contoh penubuhan PKR dan juga Semangat 46 akibat persilihan faham dan perebutan kuasa dalam UMNO yang akhirnya membantu menguatkan pembangkang.

Kedua-dua parti serpihan UMNO ini wujud ketika parti tersebut dibawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, Mahathir sendiri bertindak meninggalkan UMNO sebelum membentuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan.

Bekas perdana menteri tersebut turut dilantik sebagai pengerusi blok pembangkang tersebut dan bakal memainkan peranan penting dalam usahanya menawan Putrajaya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Ab Aziz Kaprawi dalam ucapannya di majlis yang sama mengecam pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terutamanya pembangkang yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan peribadi dan bukannya rakyat.

Jelasnya, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif untuk penerangan terutamanya kepada generasi muda bagi menangkis segala fitnah dilemparkan pembangkang.

“Menjelang pilihan raya umum ini, ramai pihak khususnya pembangkang telah mengambil langkah untuk menjual maruah negara demi kepentingan peribadi,” ujarnya.

 

Leave a Reply