UMNO Kota Tinggi tolak calon luar – Daing Malek

UMNO Kota Tinggi tolak calon luar – Daing Malek

Forest City, 26 Ogos – Ketua Bahagian UMNO Kota Tinggi Datuk Daing Malek Daing A. Rahman memberikan isyarat kepada pucuk pimpinan parti supaya menamakan calon tempatan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU1) bagi kawasan parlimen tersebut.

Menurutnya, Daing Malek, ahli akar umbi akan pastinya tidak akan berpuas hati sekiranya hasrat mereka “sering ditipu” dan “harapan pengundi tidak dikotakan”.

“….lama-lama perasaan tidak puas hati akan muncul, malahan pula orang luar menjadi wakil yang tidak memahami hasrat dan kehendak akar umbi di Kota Tinggi, dipilih menjadi wakil rakyat, putih mata orang tempatan menelan air liur.

“Ibarat kata pujangga lama “hanya jauhari yang mengenal manikam”.

“Maka tibalah masanya, ahli-ahli UMNO di Kota Tinggi diberikan ruang “menggilap permata yang hilang”, katanya dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Tinggi di Gelang Patah hari ini.

Beliau menambah bahawa bandar Kota Tinggi akan terus malap sekiranya projek pembangunan hanya bertumpu di kawasan Penggerang.

Jawatan Ahli Parlimen Kota Tinggi kini disandang oleh Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, yang merupakan anak kelahiran Kluang.

Dalam PRU yang lalu Ehsan mengalahkan calon PAS, Onn Jaafar dengan majoriti 24,574 undi.

Sementara itu, Daing Malek turut menggariskan perpecahan dalamam dan fitnah yang ditaburkan oleh pembangkang sebagai cabaran-cabaran yang dihadapi UMNO dan rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN) lain menjelang pilihan raya nanti.

Walaupun masih dianggap kawasan putih (mesra BN), Daing Malek berkata Kota Tinggi sedang sentiasa dalam pemantauan pembangkang yang mahu bertapak disana.

“Namun keadaan boleh berubah pada bila bila masa, jika dalaman kita penuh dengan duri dalam daging, dan gunting dalam lipatan.

“Parti akan hancur dan bila bila masa akan jatuh ke tangan pembangkang,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa UMNO perlu mengkaji hasil bedah siasat kelemahannya dalam PRU14.

“Mengesan dan mengenalpasti mengapa orang Melayu berpecah. Kehebatan parti DAP perlu diambil iktibar, mereka mempergunakan kelemahan pemimpin Melayu yang dipinggirkan, dengan mempelawa untuk berkompromi dan menabur janji janji dalam bayangan bukan kenyataan.”

Dalam mengkritik bekas pimpinan tinggi UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membentuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Daing Malek berkata percakaran berterusan dikalangan orang Melayu hanya akan memberikan kuasa politik kepada DAP.

Beliau mempersoalkan mengapa Mahathir menyalahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana kemelesetan harga minyak dunia sedangkan ia diluar kuasa kerajaan.

Leave a Reply