RENCANA: Merungkai ‘Memali’

RENCANA: Merungkai ‘Memali’

APA yang terjadi tiga atau empat dekad lalu biasanya tidak diingati lagi oleh rakyat yang umumnya kurang peduli dengan sejarah.

Semasa terbitnya sebuah buku berjudul Memali Kenangan Seorang Polis (2013) ditulis oleh bekas Ketua Polis Daerah Ba­ling (1981-1986) ketika itu, Tunku Muszaffar Shah Tunku Ibrahim, orang tidak begitu ghairah memperkatakan semula satu peristiwa berdarah di Kampung Memali di Baling, Kedah.

Dalam kalangan generasi muda pun tidak banyak yang tahu bahawa pada suatu Selasa 19 November 1985 itu, 18 rakyat negara ini terbunuh termasuk empat anggota polis dalam satu operasi polis di kampung berkenaan.

Operasi itu adalah untuk menahan Ibrahim Mahmood atau Ibrahim Libya yang kemudiannya terbunuh dalam insiden itu.

Apa yang berla­ku di Memali pada hari itu juga sebenarnya adalah kemuncak daripada rentetan yang bermula hampir setahun sebelumnya.

Pada awal pagi 2 September 1984, polis melancarkan satu ope­rasi untuk menahan Ibrahim. Menurut catatan Tunku Muszaffar Shah, ada arahan khusus daripada Menteri Dalam Negeri waktu itu, Datuk Musa Hitam (kini Tun) supaya polis tidak menggunakan kekerasan dan sekiranya ada penentangan, mereka hendaklah berundur. Pada awal pagi 2 Se­ptember itu, pengikut-pengikut Ibrahim mempertahankan ketua mereka dan polis kemudiannya berundur.

Terkait dengan peristiwa Memali itu ialah kertas putih yang dikeluarkan oleh kerajaan pada 8 November 1984 bertajuk ‘Ancaman Terhadap Perpaduan Umat Islam dan Keselamatan Negara’. Kertas putih itu dikeluarkan untuk mendedahkan kegiatan anasir, kumpulan dan individu tertentu yang menyalahguna serta mengeksploitasikan agama Islam untuk kepentingan politik.

Peristiwa Memali itu juga terkait dengan apa yang disebut dalam kamus politik negara ini sebagai ‘Amanat Hadi’. Selebihnya, ia terkait dengan isu hubungan UMNO dan Pas serta peranan parti orang Melayu itu dengan hal-ehwal Islam.

Selepas mendiamkan diri selama 30 tahun, Musa dalam rancangan bual bicara Obviously Harith Iskander (OHI) pada 13 Ogos tahun lalu menceritakan bagaimana beliau menangani krisis tersebut dalam bukunya Frankly Spea­king.

Kata Timbalan Perdana Menteri semasa tragedi Memali itu, beliau langsung tidak diberi ruang untuk memberi penjelasan.

Mengakui beliau sudah penat menanggung beban sejarah menjadi ‘kambing hitam’ dalam peris­tiwa Memali, jelas Musa, situasi tidak menyebelahinya sehingga dipersalahkan sebagai individu yang bertanggungjawab ke atas peristiwa berdarah berkenaan.

Katanya, dalam perjalanan politik beliau, peristiwa Memali dianggap paling kontroversi. Ke­rana peristiwa itu, beliau dikaitkan dengan gelaran pembunuh.

“Signifikan peristiwa Memali adalah mudah, selama 30 tahun saya dikatakan menjadi pembunuh, bolehkah anda bayangkan?

“Pembangkang menyalahkan UMNO dan saya sebagai individu yang bertanggungjawab dan ‘rakan-rakan’ saya dalam UMNO, apabila situasi ini berlaku, mereka meninggalkan saya.

“Mereka seolah-olah mengatakan biarlah Musa menjadi ‘kambing hitam’ daripada kami,” kata beliau yang menjadi tetamu undangan dalam rancangan OHI berkenaan.

Musa berpendapat, nasib beliau mungkin berbeza sekiranya teknologi media ketika itu adalah seperti yang wujud ketika ini.

Kedudukannya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu penyebab secara automatik beliau dianggap orang bertanggungjawab atas kejadian berdarah itu.

Apa yang didedahkan Musa mengenai isu Memali ialah persepsi selama ini mengatakan kejadian itu berlaku sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) tidak ada dalam negara ketika itu tidak benar sama sekali.

Tegas Musa: “Ketika kejadian itu Dr. Mahathir ada dalam negara.”

Bagaimanapun, Dr. Mahathir dalam blognya chedet.cc/ mengatakan beliau tidak ingat apakah bekas timbalannya itu ada menasihatinya supaya menangguhkan lawatan kerja ke China susulan insiden berdarah di Memali.

Dr. Mahathir berlepas ke Beijing untuk lawatan negara sehari selepas kejadian itu.

“Saya tidak ingat yang Tun Musa datang berjumpa saya untuk saya tidak pergi ke Beijing tetapi beliau berada di lapangan terbang bersama dengan ramai orang yang ingin ucap selamat pemergian saya ke Cina.

“Di waktu itu pun saya tidak ingat yang Tun Musa menasihat supaya saya tidak pergi luar ne­geri,” katanya.

Mengenai peristiwa berdarah itu, Musa mengakui beliau terkilan dan menyesal atas kejadian itu yang dianggap titik hitam dalam sejarah politiknya. Namun menyangkal sebagai penyebab beliau berehat dalam politik.

“Saya akui peristiwa Memali benar-benar menekan diri saya. Saya ke Mekah dan berdoa kepada Allah atas apa yang berlaku,” katanya.

Elok dirungkai ‘misteri’ peristiwa Memali. Tidak perlu me­nuding jari kepada sesiapa kerana jawapan yang paling tepat adalah menerusi rumusan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Oleh: 

Diterbitkan dalam akhbar UTUSAN MALAYSIA, 23 Ogos 2017

Leave a Reply