Pengeluaran Ayam Daging Johor Meningkat Kepada 70 Juta Ekor

Pengeluaran Ayam Daging Johor Meningkat Kepada 70 Juta Ekor

JOHOR BAHRU, 21 Ogos  — Pengeluaran ayam daging di negeri ini meningkat kepada 70 juta ekor tahun ini berbanding 66.9 juta dua tahun lepas, sekali gus menjadikan Johor negeri tertinggi mengeluarkan ternakan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed berkata sehubungan itu, pelbagai usaha perlu dilakukan bagi mengekalkan pencapaian tersebut.

“Industri ini berpotensi besar namun mempunyai pelbagai cabaran seperti gangguan lalat, masalah lambakan tinja atau najis ternakan.

“Tetapi ia dapat diatasi melalui pelbagai program dan bantuan yang diberikan Jabatan Perkhidmatan  Veterinar negeri termasuk penggunaan baja bio organik yang akan diperluaskan kepada para petani dan masyarakat untuk menjaga alam sekitar,” katanya.

Ismail berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perundingan Industri Unggas tahun 2017 peringkat negeri di sini, hari ini.

Menurut Ismail, pihaknya juga akan terus memberi insentif penternakan kepada peserta-peserta terlibat  selain menerapkan Pengamalan Sistem Penternakan Yang Baik (GAHP) terhadap semua penternak dan pengusaha ayam daging bagi meningkatkan kualiti pengeluaran ternakan itu.

“Bagi menjamin pengeluaran ternakan dan produk yang bersih, suci dan selamat, semua ladang ternakan juga digalakkan untuk mendapatkan Sijil MyGAP,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 10 ladang unggas di negeri ini telah diarahkan tutup dan dikenakan kompaun sejak awal tahun hingga Ogos ini kerana didapati melanggar Enakmen Kawalan dan Perlesenan Unggas dan Aktiviti Berkaitan Penternakan Unggas 1996.

Leave a Reply