Penantian lebih 30 tahun warga Kempas berakhir

Penantian lebih 30 tahun warga Kempas berakhir

Kempas, 20 Ogos – Penantian lebih 30 tahun untuk mendapatkan geran kurnia bagi penduduk di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas berakhir semalam apabila Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan ianya telah diluluskan.

Dalam satu majlis semalam, Adun Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminnurashid Tengku Abdul Hamid Jumat, berkata 145 permohonan telah dibuat kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan geran kurnia.

“Permohonan tersebut telah dimajukan oleh pemohon-pemohon kepada saya sebagai wakil rakyat untuk dipanjangkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Pejabat YAB Datuk untuk dipertimbangan.

“Untuk pengetahuan Datuk (Mohamed Khaled), kami rakyat di Kempas sentiasa berdoa agar permohonan pemohon-pemohon ini diterima.

“Untuk tujuan tersebut, Pusat Khidmat Wakil Rakyat Kempas juga telah menganjurkan beberapa siri solat hajat khas untuk tujuan tersebut, dan yang terbaru, malam semalam (Sabtu) di surau Lorong Aman untuk berdoa kepada Allah S.W.T agar usaha mendapatkan geran kurnia ini dipermudahkan,” kata Tengku Putra.

Adun penggal pertama tersebut turut melahirkan rasa bertuah kerana rakyat Johor mempunyai seorang menteri besar seperti Mohamed Khaled yang tidak mengabaikan bangsa Melayu dalam pelan pembangunan negeri.

“Di samping pembangunan pesat yang di saksikan sekitar negeri Johor ini beliau masih boleh lagi membina dan mengekalkan penempatan bagi orang Melayu di dalam pembangunan yang di majukan.

“Saya telah menyaksikan sendiri dari masa majlis-majlis pecah tanah kerajaan sehinggalah kunci rumah-rumah mampu milik diserahkan kepada rakyat. Semuanya di dalam jangkawaktu kurang dari sepenggal beliau menjadi menteri besar. Ini suatu rekod yg telah dicatatkan dan bukti keikhlasan dan amanah yang dipikulnya demi rakyat di negeri Johor.”

Tengku Putra berkata beliau dan penduduk Kempas berserah kepada Allah dan juga atas budi bicara Mohamed Khaled untuk membantu mereka setelah semua proses bagi mendaptkan geran kurnia itu telahpun dilalui.

Dalam menyampaikan khabar gembira tersebut, Mohamed Khaled berkata kerajaan Johor telah meluluskan semua 145 permohonan semua bagi mendapatkan hak milik tanah yang diminta sejak tahun 1990.

Menurut Mohamed Khaled, empat kampung yang terlibat adalah Kampung Permatang 5, Kampung Lorong Aman, Kampung Lembah Murni dan Kampung Jalan Masjid.

Keputusan ini dicapai kerajaan negeri dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor minggu lalu.

“Kita sudah luluskan secara berprinsip supaya permohonan penduduk empat kampung ini mendapat hak milik.

“Tapi kita akan kaji dulu. Mungkin ada yang terbabit dengan sungai.

“Yang lain yang tak terbabit, kita akan pastikan tuan-tuan dan puan-puan akan dapat,” Mohamed Khaled berkata.

Turut hadir, Ketua Bahagian UMNO Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed yang juga merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Ahli Parlimen Pulai.

Leave a Reply