Ku Nan Tempelak Pembangkang Jadi Tukang Cucuk, Bakar Dan Kipas Racun Rakyat

Ku Nan Tempelak Pembangkang Jadi Tukang Cucuk, Bakar Dan Kipas Racun Rakyat

TANJUNG PIAI, 19 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menempelak pembangkang yang menjadi tukang cucuk dan tukang kipas serta tukang bakar bagi memburukkan pelbagai usaha kerajaan terhadap rakyat.

Menurut beliau rasa cemburu berkenaan menyebabkan mereka membuat pelbagai tohmahan agar rakyat bukan sahaja keliru malah melihat usaha dan perancangan serta pelaksanaan kerajaan kononnya tidak memberi manfaat yang sewajarnya.

“Mereka ini jadi tukang cucuk…tukang kipas dan tukang bakar…,mereka ini cemburu…,tidak boleh tengok apa yang kita buat berjaya…yang sedihnya ada pula antara kita yang terikut sedangkan kita perlu tangkis segala persepsi yang dibawa oleh pembangkang. Inilah tugas kita di bawah dengan mendekati masyarakat memberitahu perkara sebenarnya selain menjalankan tanggungjawab kita bagi memenuhi aspirasi rakyat akar umbi,” katanya.

Tengku Adnan berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat UMNO bahagian Tanjung Piai, di Dewan Kolej Matrikulasi Pontian, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO bahagian, Datuk Md Othman Yusof dan pimpinan bahagian empat peringkat serta para perwakilan.

Tengku Adnan seterusnya menegaskan cogan kata parti iaitu ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ perlu dihayati sepenuhnya oleh ahli parti.

“Bersatu sesama kita ahli parti dan bersetia kepada pemimpin di semua peringkat serta berkhidmat untuk rakyat. Penghayatan ini membolehkan parti terus dipertahankan malah landasan UMNO yang kita perjuangkan selama ini berada pada jalan yang betul.

“Landasan kita adalah yang benar, malah parti kita ada struktur dan perlembagaan tersendiri… tahniah kepada cawangan yang telah berjaya melaksanakan mesyuarat di peringkat masing-masing dan wakil cawangan yang hadir ke mesyuarat bahagian perlu suarakan apa masalah di peringkat cawangan.

“Yang penting hari ini perwakilan yang hadir diberi ruang untuk nyatakan apa permasalahan di bawah…apa masalah di akar umbi…UMNO ada di cawangan…begitu juga sayap…kita kena faham..apatah lagi UMNO ditubuhkan di Johor..bukan ditubuhkan di tepi jalan…. Sudah 70 tahun usia UMNO.”

Jelas beliau, ada orang kata tak perlukan UMNO sedangkan mereka ini cuba takutkan orang Melayu dan sebagainya

“Kita nak tanya pembagkang ini… mereka ini ditubuhkan atas dasar apa…? PKR contohnya ditubuhkan atas kekecewaan Anwar yang dipecat daripada UMNO…sekarang ‘parti bunga’… lahir dari kekecewaan
Muhyiddin…Mukhriz… jadi bolehkah kita menaruh harapan kepada orang yang kecewa untuk masa depan kita, masa depan anak-anak kita kerana mereka ada agenda sendiri.

“UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) ada hala tuju dan bawa ke arah pencapaian seperti dikehendaki agama dan bangsa serta negara,” katanya.

Kata beliau lagi, percayalah tidak ada parti selain BN yang dapat berkhidmat sepertimana yang dilihat hari ini.

“BN parti berbilang kaum…segala keputusan yang diambil adalah konsensus dan secara bersama…itu yang kita amalkan selama ini. MCA berjuang hak mereka, begitu juga MIC dan rakan-rakan komponen di dalam BN yang lain. Dasar yang kita amalkan ‘unity in diversity’…bersatu dalam kepelbagaian,” katanya lagi

Leave a Reply