Antara 23 Tahun Dulu Dengan Dua Tahun Ini… Mana Satu Dr Mahathir Bohong? – Annuar Musa

Antara 23 Tahun Dulu Dengan Dua Tahun Ini… Mana Satu Dr Mahathir Bohong? – Annuar Musa

MERSING, 18 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata beliau lebih yakin dengan apa yang diperkatakan oleh Tun Dr Mahathir sebelum ini iaitu sepanjang 23 tahun pemerintahannya berbanding dengan apa yang diperkatakan sejak dua tahun kebelakangan ini.

Serentak itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh menimbulkan persoalan apakah Tun Mahathir yakin dengan politik Dap serta Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebagainya lagi terhadap jawapan kepada masalah di Malaysia hari ini.

“Betulkah Tun nak berkawan dengan Dap…? Betulkah Tun yakin Dap boleh beri kebaikan kepada Malaysia…? Betulkah Tun, bahawa Dap hari ini tidak rasis….? Betulkah Tun yakin politik Dap, PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebagainya adalah jawapan kepada masalah di Malaysia?

“Berkata benarlah… kita nak Tun berkata benar daripada isi hatinya dan tidak mengikut perasaan. Beliau kena kata ikut isi hati dia. Saya yakin 23 tahun dulu apa yang Tun cakap itu lebih betul berbanding dua tahun sekarang.

“Tidak mungkin apa yang Tun cakap dua tahun sekarang ini benar. Tun berbohong bila kata Dap baik…Dap boleh bela Malaysia dan kalau dia kata Anwar layak jadi PM. Saya lebih pegang kepada pendapat Tun yang 23 tahun dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian mesyuarat UMNO Bahagian Mersing, di Dewan Jubli Intan, Sultan Ibrahim di sini, hari ini.

Annuar seterusnya menegaskan antara dua tahun kebelakangan ini dengan 23 tahun yang dahulu salah satunya mesti Tun Mahathir berbohong.

“Kalau tidak berbohong sekarang dia berbohong dulu. Jadi kita kena pilih…masa bila beliau berbohong…Tun Mahathir berbohong sekarang … Apakah ajaran Tun Mahathir dalam politik Malaysia kepada orang seperti kami sepanjang 23 tahun sedangkan beliau telah melalui pelbagai cabaran.

“Pada saya waktu itu Tun Mahathir lebih benar kerana mahu menyelamatkan bangsa maka kami menyokongnya. Jadi saya harap rakyat Malaysia jangan ikut dua tahun pembohongannya sekarang dan lupakan 23 tahun yang dahulu,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Annuar berkata ahli UMNO seharusnya bersyukur kerana berada di dalam saf dengan ‘DNA’ yang tulen dan mampu menghadapi pelbagai cabaran dan gelombang.

“Bersyukurlah kita berada dalam saf dengan DNA yang tulen, sebab itu UMNO sukar mati…UMNO boleh melalui pelbagai gelombang dan insya-Allah UMNO tidak akan terkubur selagi mana kita memahami dan terus berada dalam saf kerangka ibadat dan perwakilan di depan ini.

“Kita jangan membiarkan UMNO disalahertikan. Parti banyak sekali disalahertikan kerana kita membiarkan UMNO diperkenalkan oleh musuh kita. Pembangkang tuduh kita macam-macam…kata kita asabiyyah…kata kita parti perkauman…

“Mereka anggap kita dengan macam-macam…salah kita kerana kita tidak perkenalkan siapakah kita sebenarnya..apakah UMNO..akhirnya mereka ditakut-takutkan…salah kita kalau kita tidak perkenalkan apakah perjuangan UMNO yang sebenarnya sedangkan UMNO berjuang untuk semua rakyat,” tegasnya lagi. -UMNOOnline

Leave a Reply