Kematangan, Kebijaksanaan UMNO Pagoh Harus Dijadikan Teladan

Kematangan, Kebijaksanaan UMNO Pagoh Harus Dijadikan Teladan

MUAR, 13 Ogos  –Kematangan dan kesetiaan UMNO Pagoh dalam menghadapi krisis perlu dicontohi oleh semua bahagian di seluruh negara, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kebijaksanaan menghadapi krisis di UMNO bahagian itu juga wajar dicontohi.

Malah, jentera parti di bahagian Pagoh juga berfungsi dengan baik walaupun terpalit dengan krisis membabitkan bekas Ketua Bahagiannya yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“UMNO Pagoh tahu, dalam perjuangan, kesetiaan pada perjuangan itu mutlak. Ia tidak boleh dikompromi. Ia tidak boleh dijual beli. Ia tidak seharusnya ditukar ganti.

“Maka UMNO Pagoh membuat keputusan paling sukar, namun tepat iaitu untuk kekal setia dengan parti,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar di Pagoh, semalam.

Turut hadir merasmikan persidangan itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata antara fokus utama adalah bagi memastikan jentera proaktif dan berusaha dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional di Pagoh pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ini adalah kerana kemenangan Pagoh akan menterjemahkan kepada kemenangan besar di peringkat negeri dan juga negara, kata beliau.

“Kemenangan Pagoh bukan sahaja akan meningkatkan keyakinan kita sebagai sebuah parti yang berprinsip tetapi akan memulihkan pengaruh UMNO sebagai wadah perjuangan Melayu Islam yang paling dominan dalam Malaysia moden,” kata Mohamed Khaled.

Tegasnya, anggota UMNO harus bekerja keras bagi merealisasikan kemenangan ini kerana tanpa kemenangan, perjuangan parti akan terkandas. -UMNOOnline

Leave a Reply