DAP Johor Buntu, Tidak Pernah Berehat Menegakkan Benang Yang Basah

DAP Johor Buntu, Tidak Pernah Berehat Menegakkan Benang Yang Basah

JOHOR BAHRU, 10 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor menyifatkan DAP Johor belum pernah berehat menegakkan benang yang basah, termasuk terbaru menerusi artikel yang ditulis oleh Mahdzir Ibrahim yang disiarkan oleh RoketKini, jelas menunjukkan bahawasanya DAP Johor sudah buntu dan goyah di dalam menghadapi PRU yang akan datang.

Ketuanya, Hahasrin Hashim berkata, kenyataan beliau ini umpama menconteng arang ke muka sendiri, tidak pernah putus mengkritik pentadbiran YAB Menteri Besar Johor, walhal sikap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang yang hanya sibuk berpolitik demi kepentingan peribadi, sehinggakan rakyat yang perlu diberi perhatian pun terabai.

“Mahdzir juga membuat cubaan untuk membangkitkan sentimen Bangsa Johor yang jelas gagal difahami oleh beliau sendiri.

Konsep ini yang menjadi teras kepada perpaduan kaum di Johor yang sememangnya kaya dengan identiti sosial yang telah dipegang turun temurun.

DAP Johor kenalah celik sejarah, dan menjiwai asal usul Johor. Konsep Bangsa Johor ini telah wujud di negeri ini sejak 1920 lagi, dan ia telah diperkenankan oleh Istana pada 1940-an, selaras dengan wawasan almarhum Sultan Abu Bakar dan kemudian diteruskan oleh DYMM Sultan Ibrahim untuk membentuk rakyat Johor bawah satu nama, Bangsa Johor,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Tambahnya, konsep ‘Bangsa Johor’ ini cukup jelas mendepani batas – batas parti politik, kerana ia hadir dalam roh dan semangat setiap rakyat negeri Johor.

“Saya ingin mendesak saudara Mahdzir bersama-sama kepimpinan DAP Johor memohon maaf kepada rakyat di negeri ini khususnya, di atas kenyataan beliau terhadap Bangsa Johor.

Berpolitik bermodalkan air liur ini adalah politik murahan, dengan berterusan mengkritik dan bersungguh – sungguh mendambakan satu persepsi negatif terhadap pentadbiran YAB Menteri Besar Johor ini adalah satu langkah orang yang sedang kalah,” tambahnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Tenggara.

 

Leave a Reply