UMNO Johor Akan Pastikan Hasrat Pembangkang Tawan Negeri Gagal

UMNO Johor Akan Pastikan Hasrat Pembangkang Tawan Negeri Gagal

KOTA TINGGI, 7 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba menegaskan bahawa UMNO Johor, khususnya UMNO Bahagian Tenggara akan memperkuatkan jentera dan bekerja habis-habisan untuk memberikan tentangan terhadap pembangkang serta akan memastikan bahawa hasrat mereka untuk terus bertapak di negeri tersebut tidak akan berjaya direalisasikan.

Menurut beliau, sememangnya UMNO Johor menyedari hasrat pihak pembangkang untuk terus memperkukuhkan kedudukan mereka di negeri ini, namun beliau yakin dengan semangat dan solidariti yang diperlihatkan oleh ahli-ahli dan kepimpinan UMNO Johor, hasrat pembangkang untuk melebarkan sayap mereka akan dapat dipatahkan.

“Kita tahu pembangkang merasakan mereka sudah cukup kuat untuk melebarkan kekuasaan di negeri ini. Tentunya kita tidak akan membenarkan mereka untuk berbuat demikian dan jentera kita akan berhabis-habisan untuk memastikan pembangkang tidak mampu untuk bertapak walaupun sekecil mana pun kawasan yang mereka sasarkan itu.

“Seperti mana di bahagian Tenggara, saya beri jaminan mereka masih belum boleh masuk bertapak di kawasan ini kerana kita tahu akan kekuatan kita dan kita tahu apa kehendak dan aspirasi rakyat di kawasan ini.

“Jadi, jika pada PRU ke-13 sebelum ini pihak pembangkang menggunakan slogan ‘ini kalilah’ maka saya ingin beritahu mereka bahawa “lain kalilah’ bagi pihak pembangkang merealisasikan hasrat mereka untuk menawan beberapa kawasan DUN dan Parlimen di Johor ini,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Sementara itu, beliau turut berpandangan bahawa pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak memberikan sebarang kesan yang besar terhadap kekuatan dan solidariti UMNO Johor khususnya dalam menghadapi PRU ke-14 yang akan datang.

“Sebagai Ketua Bahagian, daripada pengamatan saya pemecatan Tan Sri Muhyiddin tidak menjejaskan kekuatan UMNO di Johor. Kita tahu, sama ada beliau ada di dalam UMNO atau pun berada di luar UMNO, ianya tidak ada beza kerana kekuatan UMNO Johor ini tidak bergantung kepada seseorang individu semata-mata.

“Sejak akhir-akhir ini kita juga telah meragui keberadaan beliau di dalam parti dan apabila jelas beliau tidak lagi mahu bersama ahli dan kepimpinan UMNO untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara sepertimana yang beliau lakukan hari ini, maka apa yang kita ragui selama ini telah terbukti benar,” ujarnya.  – UMNOOnline

Leave a Reply