Sultan Johor Berkenan Rasmi Program Restorasi Karang Di Pulau Tinggi

Sultan Johor Berkenan Rasmi Program Restorasi Karang Di Pulau Tinggi

MERSING, 7 Ogos — Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan merasmikan Program Restorasi Karang ‘Largest Simultaneous Coral Planting Event’ di Pulau Tinggi, di sini hari ini.

Pada program sempena sambutan 10 tahun Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) dan sambutan Hari Laut Sedunia 2017 itu, baginda turut berkenan menyelam bagi menyempurnakan penanaman 1,200 anak karang pada struktur kerangka polivinil klorida (pvc) di Pulau Mentinggi, gugusan Pulau Tinggi.

Baginda kemudian berkenan menandatangani plak pengesahan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pengiktirafan usaha pemuliharaan terumbu karang terbesar di Malaysia.

Rekod itu disahkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh K. Raven Kumar, sebagai wakil kepada MBOR.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah JTLM Ab Rahim Gor Yaman, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat, Pegawai Daerah Mersing Ashari Kasnan dan Pengarah JTLM Johor Mohd Nizam Ismail.

Mohd Nizam menerusi kenyataan berkata Program Restorasi Karang merupakan program konservasi JTLM untuk menjana semula kawasan yang telah mengalami kerosakan kepada keadaan yang hampir semula jadinya.

Beliau berkata sehingga Dis 2015, sebanyak 32,498 nubbin atau fragmen karang berjaya ditanam melalui Program Restorasi Karang di kawasan seluas 2.7 hektar dalam perairan taman laut negara ini.

Menurutnya, pemantauan kawasan mengalami kemerosotan karang dilakukan tahun lepas di 512 tapak menggunakan kaedah ‘manta tow’ dan berjaya mengenal pasti 152 tapak untuk dibaik pulih iaitu 32.2 peratus daripada jumlah kawasan yang dikaji.

Program Restorasi Karang yang dijalankan hari ini pula dilakukan serentak di enam Pusat Taman Laut (PTL) iaitu PTL Pulau Redang dan PTL Perhentian di Terengganu dengan penanaman masing-masing 1,200 dan 2,400 anak karang, PTL Pulau Tinggi (1,200), PTL Pulau Tioman di Pahang (1,200), PTL Pulau Payar di Kedah (600) manakala Taman Laut Wilayah Persekutuan Labuan (600).

JTLM ditubuhkan pada 16 Julai 2007 di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan memulihara marin di taman laut.

Sebanyak 13 buah pulau dengan keluasan perairan 765.65 kilometer persegi telah diwartakan sebagai Taman Laut Johor yang dikenali sebagai Taman Laut Sultan Iskandar. -Bernama

Leave a Reply