Anuar yakin BN kekalkan kerusi Sekijang

Anuar yakin BN kekalkan kerusi Sekijang

Sekijang, 2 Ogos – Kerusi Parlimen Sekijang tidak akan terlepas dari tangan Barisan Nasional (BN) walaupun pembangkang dilihat berkeyakinan mampu memenanginya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ahli Parlimen Sekijang Anuar Abd Manap turut melahirkan keyakinannya bahawa majoriti undi BN dapat meningkat dalam PRU14 nanti.

“Kita dah buat kerja kita. Tak dapat dinafikan ada isu-isu setempat termasuk dalam Felda yang tak puas hati dengan pengurusan, ada yang tak puas hati dengan pembangunan dan mungkin sesetengah janji yang belum kita tunaikan tapi ia sedang diusahakan.

“Dan kita juga di sini sentiasa buat program secara bersama dengan Datuk Ayub Rahmat (Adun Kemelah) dan Lau Chin Hoon (Adun Pemanis),” kata Anuar, sambil menambah muafakat diantara wakil rakyat BN disini utuh.

Anuar berjaya menumpaskan wakil PKR dalam PRU13 dengan majoriti 3,007 undi.

Jika dicalonkan semula, Anuar mungkin akan berdepan seorang lagi calon PKR; Tan Poh Lai yang merupakan anak kepada pemimpin kanan pembangkang suatu ketika dahulu Tan Chee Khoon.

Tan, seorang peguam, dikhabarkan sering menjalankan gerak kerjanya di Segamat.

Namun Anuar percaya statusnya selaku anak tempatan akan membantunya memenangi kerusi Sekijang semula.

Menurutnya, selain memahami masalah setempat, Anuar juga berkata setiap isu dihadapi penduduk turut dikongsi oleh dirinya dan keluarganya.

Anuar turut berkata yang sokongan penduduk Felda akan cuba diraih oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana parti serpihan UMNO tersebut turut mahukan sokongan yang sama.

Leave a Reply