UMNO Johor Dinasihat Jangan Ambil Mudah Sokongan Melayu

UMNO Johor Dinasihat Jangan Ambil Mudah Sokongan Melayu

JOHOR BAHRU, 29 Julai  — UMNO Johor dinasihatkan supaya tidak mengambil mudah dan terlalu yakin akan kekuatan sokongan masyarakat Melayu terhadap parti itu ketika ini.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Noh Omar berkata ini kerana dalam politik, apa sahaja boleh berlaku dan beliau tidak mahu Johor menjadi seperti Selangor yang jatuh ke tangan pembangkang.

“Kita yakin Johor akan terus menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan UMNO kerana UMNO lahir di negeri ini. Bagaimanapun, kita janganlah terlalu yakin dan mengambil kesempatan kerana dalam politik, tiada yang mustahil.

“Kita harus mengambil iktibar apa yang berlaku di Selangor…pada Pilihan Raya Umum 2004, kita menang semua 22 kerusi Parlimen dan 54 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi pada 2008 habis terbalik.

“Kita hanya menang lima kerusi Parlimen dan 20 kerusi DUN. Jadi, jangan ambil mudah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tebrau yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Tebrau Datuk Maulizan Bujang merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram di sini, hari ini.

 

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata UMNO perlu terus bekerja keras dengan mengubah pelbagai strategi dalam mendekatkan diri dengan masyarakat supaya diterima oleh setiap lapisan.

“Harus ada perubahan…kalau tidak, kita akan ketinggalan,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan perasmian, beliau mengingatkan anggota UMNO supaya tidak menjadi anai-anai yang merosakkan parti dari dalam hingga mengakibatkan orang Melayu hilang wadah perjuangan.

“UMNO diumpamakan seperti sebatang pokok rendang yang menjadi kuat hasil sokongan daripada akar-akarnya. Kalau ‘akarnya’ sudah dimakan anai-anai, tiba-tiba, nanti kita tengok pokok dah tumbang. Kita tidak pakai kapak pun untuk menebang pokok kerana akar tunjangnya sudah reput.

“Itu sebab, hebat macam mana pun UMNO ini, kekuatannya (masih) terletak pada cawangan-cawangan UMNO di seluruh negara. Kalau satu bahagian atau cawangan tidak boleh mesyuarat contohnya kerana tidak cukup korum, itu tandanya akar kita dah mula nak mereput,” katanya. -Bernama

Leave a Reply