PRU14 medan perang kumpulan berpengalaman dan yang tidak pernah memerintah

PRU14 medan perang kumpulan berpengalaman dan yang tidak pernah memerintah

Johor Bahru, 29 Julai – Pilihan Raya Umum ke-14 bakal menjadi medan peperangan diantara kumpulan yang berkhidmat dan kumpulan yang tidak pernah memerintah.

Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Dato’ Mohamed Khaled Nordin, pilihan raya kali ini bakal menyaksikan kerajaan berpengalaman Barisan Nasional (BN) bertembung dengan lawan yang tidak mempunyai agenda dan pelan untuk negeri Johor mahupun Malaysia.

Dalam masa sama, Mohamed Khaled turut menggariskan strategi pilihan raya yang sistematik, bersih dan bersepadu bagi dipertimbangkan oleh BN.

Ini termasuklah:

i. Membanding bezakan BN, sebuah perikatan yang diwujudkan lebih 70 tahun dengan Pakatan Harapan (PH) yang baharu diwujudkan

ii. Menghadapi PRU14 sebagai BN dan ‘team Malaysia’ dan tidak sekadar membawa nama parti komponen

iii. Memastikan setiap gerak kerja disokong dengan informasi agar pilihan raya kali ini tidak berdasarkan persepsi

Beliau turut menempelek pembangkang yang mengitar semula isu-isu dalam negeri yang sudah disentuh oleh beliau sendiri dalam Bajet Negeri Johor 2017.

Mohamed Khaled turut menyindir pembangkang yang mengutip bekas pimpinan parti penerintah dalam usaha mereka membina semula negara kerana mendakwa bahawa Malaysia telah rosak dibawah pemerintahan BN.

Beliau menggunakan analogi sebuah rumah yang rosak dan bocor mahu dirobohkan kesemuanya sekaligus untuk dibina semula namun masih menggunakan tukang yang lama.

“Untuk bina semula rumah tersebut, kalau ikut logik akal, kita mesti ada strategi dan fasa-fasanya. Kita lakukan satu persatu. Bukannya robohkan kesemuanya, dan bina semula. Bina semula menggunakan tukang yang baharu, yang lebih baik, yang lebih pandai.

“Tetapi, yang mencuit hati kita, setelah mereka menuduh negara ini dirosakkan oleh parti pemerintah, mereka sendiri mahu membinanya semula menhgunakan pemimpin-pemimpin lama dari parti pemerintah.

“Keadaan ini samalah seperti dalam usaha membaiki rumah tadi. Untuk membinanya semula, mereka panggil kembali tukang rumah yang lama. Tukang yang dahulunya membina rumah tersebut.

“Bukankah rumah tadi telah dibina oleh Tun (Dr) Mahathir (Mohamad). Dibina oleh (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim). Dibina juga dengan kerjasama Tan Sri Muhyiddin (Yassin) dan rakan-rakannya. Jadi, apa bezanya?”

Beliau turut menggesa supaya pihak pembangkang tidak dibiarkan berterusan menabur fitnah kepada BN.

“Biar segala fitnah, serangan serta tohmahan yang mereka buat selama ini kembali kepada mereka.

“Kita mesti pastikan yang setiap hari mereka akan terbeban untuk menjawab semua serangan berasas kita. Hanya dengan bertindak sedemikian, kita akan mengajar mereka bahawa kita bukan lemah dan ‘naive’.

“Kita bukan pasif. Kita punya pelbagai senjata yang boleh kita gunakan untuk menewaskan mereka. Biar mereka tahu, langit ini tinggi atau rendah,” katanya lagi.

Parlimen pada penggal ini akan terbubar secara automatik pada 24 Jun 2018 dan pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran tersebut.

One Response to "PRU14 medan perang kumpulan berpengalaman dan yang tidak pernah memerintah"

  1. MOHAMAD ZUHAILI ZAINAL   29 Jul 2017 at 7:51 pm

    Harap agar UMNO Dan BN JOHOR menang besar dLM PRU 14 Nanti.. Insha’allah.

    Reply

Leave a Reply