Segelintir pihak cuba pecahbelahkan bangsa Melayu tanpa fikir akibatnya

Segelintir pihak cuba pecahbelahkan bangsa Melayu tanpa fikir akibatnya

Kulai, 25 Julai – Ketua Pegerakan Puteri UMNO bahagian Kulai, Nurul Nadia Ab Azis mendakwa wujud usaha memecahbelahkan bangsa Melayu hari ini tanpa memikirkan kesan jangka panjang perbuatan tersebut.

Menurut Nurul Nadia, perbuatan tersebut direncanakan oleh golongan yang iri hati dengan penyatuan bangsa Melayu.

“Namun ada rakyat iri hati dan cuba pecahkan Melayu kerana mereka menyedari perpecahan sahaja yang boleh melemahkan sesuatu bangsa,” kata Nurul Nadia dalam ucapannya di Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Kulai 2017.

Beliau turut menggesa ahli Puteri UMNO untuk peka dan berwaspada dengan pergerakan tersebut.

“Mereka tanpa segan silu menentang segala usaha penyatuan orang melayu tanpa fikirkan impak negatif sekiranya Melayu berpecah,” katanya lagi.

Nurul Nadia juga meminta ahli Puteri UMNO untuk menjadi ajen penyatuan parti terutamanya dari peringkat akar umbi dan pucuk pimpinan.

“Tiada yang lebih penting dalam organisasi melainkan ditonggakkan dengan penyatuan ahlinya. Penyatuan ini bermula dengan orang melayu menentang Malayan Union yang kemudian penyatuan bangsa-bangsa lain sehingga membentuk Perikatan dan akhirnya dinamakan sebagai Barisan Nasional (BN).

“Penyatuan inilah yang memastikan UMNO dan BN mampu mengharungi segala onak duri dalam mentadbir negara,” katanya.

Sementara itu, Nurul Nadia turut menafikan UMNO kini sudah memasuki usia warga emas.

“Ada yang kata umur 71 tahun ni dah dikategorikan sebagai warga emas tetapi WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) baru-baru ini beri definisi baru usia dimana 65 tahun muda, 90 tahun tua dan 100 tahun panjang umur.

“Sekurang-kurangnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih dalam golongan muda dan belia, hampir 30 tahun lebih muda dari pengasas PPBM,” katanya yang dipercayai merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selepas meninggalkan UMNO, Mahathir, 92 tahun, menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi), yang juga merupakan parti komponen Pakatan Harapan.

Bekas perdana menteri itu kini aktif bergerak dalam kem pembangkang dalam usaha menumbangkan kerajaan BN, kerajaan yang pernah dipimpinnya selama 22 tahun.

Beliau baru-baru ini turut dilantik menjadi Pengerusi Pakatan Harapan.

Leave a Reply