Puteri disaran bantu lahirkan generasi pemimpin UMNO baharu – Zainal Abidin Jidin

Puteri disaran bantu lahirkan generasi pemimpin UMNO baharu – Zainal Abidin Jidin

Kulai, 25 Julai – Pergerakan Puteri UMNO disaran memainkan peranan penting bagi melahirkan lebih ramai pelapis pimpinan buat parti.

Ketua UMNO Bahagian Kulai Datuk Zainal Abidin Jidin berkata sayap Puteri UMNO di peringkat cawangan-cawangan harus lebih berani menggerakkan sayap tersebut dan digesa untuk lebih kerap mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan.

“Saya nak mintak puteri supaya berani sikit di peringkat cawangan untuk mengadakan mesyuarat walaupun tak cukup korum. Keranan kepimpinan lahir dari cawangan-cawangan,” Zainal Abidin berkata dalam ucapannya dalam Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Kulai 2017.

Beliau menegaskan bahawa sayap puteri di cawangan-cawangan harus aktif dalam menjalankan gerak kerja mereka dan tidak sekadar berpuas hati dengan keadaan semasa.

“Kalau boleh buat mesyuarat buat tiga bulan sekali bukan setahun sekali. Sebab puteri ni saya risau, ramai dah bakal meninggalkan pergerakan puteri (secara automatik selepas melebihi had umur 35 tahun),” katanya lagi.

Zainal Abidin turut berkongsi pengalaman sendiri yang bermula dari menjawat jawatan ketua pemuda UMNO di peringkat cawangan sebelum bergelar ketua bahagian hari ini.

Sementara itu, Zainal Abidin turut berkata bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) mahu memperbaiki rekod pilihan raya mereka di Kulai.

“Umno sasar untuk kekalkan kerusi (Dun) Bukit Permai, dan menang semula kerusi (Dun) Bukit Batu dan minta parlimen (Kulai) kita menang,” katanya.

Beliau turut berkata pergerakan puteri boleh membantu perkara tersebut dengan menjalankan kempen Jalinan Rakyat (JR) dengan menyantuni masyarakat setempat serta turut sama menghadirkan diri ke pusat daerah mengundi (PDM) pada pilihan raya akan datang.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, kerusi tunggal yang dimenangi UMNO-BN di Kulai ialah di kerusi Dun Bukit Permai.

Kerusi Parlimen Kulai dimenangi oleh DAP, manakala Dun Bukit Batu pula dimenangi oleh PKR dan kerusi Dun Senai dimenangi DAP.

Leave a Reply