Akhirnya Nanti Rakyat Akan Tengok Siapa Yang Jadi ‘Top’ Siapa Yang Jadi ‘Dog’

Akhirnya Nanti Rakyat Akan Tengok Siapa Yang Jadi ‘Top’ Siapa Yang Jadi ‘Dog’

JOHOR BAHRU, 25 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Mohd Ismail Roslan menjangkakan pakatan harapan akan terus menghadapi konflik malah makin meruncing meskipun baru-baru ini mereka tampil dengan satu barisan kerjasama dalam pakatan harapan.

Jelasnya  walaupun mereka cuba menutup kecelaruan berhubung kedudukan tiga jawatan utama namun ternyata perkara itu kini menjadi pertikaian sesama mereka apabila Tun Dr Mahathir mendakwa bahawa beliau adalah ‘top dog’ pihak pembangkang dan setaraf perdana menteri di dalam pakatan tersebut.

Walau bagaimanapun tambah beliau dakwaan tersebut telah mengundang kemelut baru kerana dua pemimpin pembangkang dari PKR dan Dap seperti tidak sekata.

“Tun Mahathir dakwa beliau ‘top dog’ pihak pembangkang namun Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata tidak timbul isu siapa yang lebih kanan dalam kepimpinan tertinggi gabungan empat parti pembangkang itu. Bagi Dap pula, Kit Siang dilihat seperti mengelak untuk mengiyakan atau menidakkan dakwaaan berkenaan.

“Ternyata di kalangan mereka sendiri pun keliru.  Terbukti kesepakatan mereka tidak lebih sekadar wayang opera untuk memancing sokongan rakyat. Hakikatnya mereka masih terus bergelut dan hanya cuba memperkudakan antara satu sama lain untuk agenda sempit peribadi masing-masing”, katanya kepada UMNO-Online di sini.

Memetik laporan, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata beliau memegang jawatan utama dalam Pakatan Harapan berdasarkan pelantikannya sebagai pengerusi gabungan parti pembangkang itu.

“Saya adalah salah seorang pemimpin, saya akan mempengerusikan majlis presiden dan dalam hierarki Pakatan, saya adalah ‘top dog’ (pemimpin utama) di sanalah,” katanya pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, Selasa.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), menjawab soalan sama ada kedudukannya sama taraf dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Ahli politik veteran itu baru-baru ini dilantik sebagai pengerusi Pakatan, bersama bekas musuhnya, penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ismail yang juga Timbalan Ketua UMNO Parit Sulong, seterusnya menjangkakan isu berkenaan akan menjadi konflik berterusan di kalangan mereka.

“Sebab itu pada saya kempen mereka yang kononnya untuk selamatkan Malaysia dan sebagainya adalah sekadar lakonan semata-mata kerana nawaitu sebenar adalah untuk menyelamatkan parti masing-masing sahaja.

“Kita tengoklah nanti apa pengakhiran mereka… siapa yang akan jadi ‘top’ dan siapa pula yang akan jadi ‘dog’,” ujarnya. -UMNOOnline

Leave a Reply