Pelantikan Dr Mahathir Dalam Pakatan Harapan Sekadar Wayang – Shahrizat

Pelantikan Dr Mahathir Dalam Pakatan Harapan Sekadar Wayang – Shahrizat

JOHOR BAHRU, 21 Julai — Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abd Jalil menyifatkan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi Pakatan Harapan adalah ‘wayang’.

Katanya, pelantikan bekas presiden UMNO itu dengan beberapa pemimpin Melayu juga bertujuan untuk mengaburi mata pengundi Melayu.

“Kalau kita tengok sebenarnya yang menjadi ketua umum untuk Pakatan Harapan ni ialah Lim Kit Siang (DAP).

“Tetapi dia sembunyi di belakang sebab mereka dahagakan undi orang Melayu, sebab itu dia buat wayang kulit, sandiwara, tu kononnya wujudnya pemimpin Melayu.

“Tetapi sebenarnya yang akan membuat keputusan adalah DAP, jadi rakyat Malaysia kena berhati-hati. Kalau mereka pilih pembangkang, maknanya mereka pilih DAP untuk jadi pemimpin negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Patah di sini, hari ini.

Berhubung hasrat pergerakan itu bagi lebih ramai wanita dipilih sebagai calon di Johor dalam pilihan raya umum akan datang, Shahrizat berkata Badan Perhubungan UMNO negeri telah maklum mengenai hasrat sayap itu dan akan mempertimbangkannya.

Pada PRU13, terdapat empat kerusi Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri di Johor yang dimenangi calon Wanita UMNO.

Katanya jentera Wanita UMNO juga akan mempergiatkan usaha membantu Barisan Nasional untuk memenangi kerusi Parlimen Gelang Patah pada pilihan raya umum akan datang.

Leave a Reply