Siasatan JKM Dapati Muhammad Al Fateh Tidak Didera – Asiah

Siasatan JKM Dapati Muhammad Al Fateh Tidak Didera – Asiah

JOHOR BAHRU, 12 Julai — Siasatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terhadap kes Muhammad Al Fateh Abdullah sebelum ini mendapati kanak-kanak berusia 21 bulan itu tidak didera, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Asiah Md Ariff.

Katanya atas faktor itulah JKM menerima rayuan keluarga angkatnya agar kanak-kanak itu yang meninggal dunia semalam dipercayai akibat didera ibu bapa angkatnya,  kembali diserahkan di bawah jagaan mereka.

Dalam sidang media di sini hari ini, Asiah berkata JKM menjalankan siasatan terhadap keluarga angkat kanak-kanak itu pada April lalu ketika mangsa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat kerana mengalami kesukaran bernafas.

“Itu merupakan kali terakhir pihak JKM membuat tinjauan terhadap keadaan mangsa dan keluarga mangsa.

“Rekod pemeriksaan pihak hospital pada 13 Nov tahun lepas mendapati ada kesan retak pada lengan tangan kanan mangsa selain disyaki menghidap penyakit tibi dan pihak hospital telah memaklumkan keadaan itu kepada JKM yang disusuli dengan siasatan JKM terhadap keluarga angkat mangsa,” katanya.

JKM memutuskan untuk mengambil kembali mangsa bagi diberikan perlindungan, namun menurut Asiah keluarga angkat Muhammad Al Fateh merayu agar kanak-kanak itu diserahkan kembali  kepada mereka selain berjanji tidak akan mengabaikan mangsa.

“Menurut kenyataan hospital, kesan retak tersebut adalah daripada kesan luka lama dan tidak terdapat unsur-unsur penderaan, jadi selepas empat hari siasatan dijalankan, kita telah serahkan kembali Muhammad Al Fateh kepada keluarga angkatnya selepas mempertimbangkan rayuan mereka.

“Pihak JKM telah pergi sendiri melihat keadaan keluarga angkat mangsa dan tidak mendapati sebarang unsur-unsur penderaan. Ibu dan bapa angkat Muhammad Al Fateh juga mempunyai tujuh anak berusia lingkungan setahun hingga 14 tahun dan mereka semua mendapat perhatian yang sama rata,” jelasnya.

Beliau berkata  kanak-kanak itu diserahkan secara sah oleh ibu kandungnya kepada ibu dan bapa  angkat berkenaan.

“Muhammad Al Fateh sebenarnya memerlukan rawatan yang berterusan berikutan masalah pernafasan dan batuk yang dihidapinya dan untuk rekod mangsa telah dimasukkan ke hospital sebanyak empat kali sejak November 2016 hingga Julai tahun ini,” katanya.

Asiah juga berkata berdasarkan keterangan ibu angkat mangsa, kanak-kanak itu seorang yang sangat aktif dan ibu angkatnya turut menyimpan beberapa rakaman video serta gambar yang memaparkan gelagat mangsa.

Ahad lepas, Muhammad Al Fateh dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak HSNI dalam keadaan kritikal setelah dipercayai didera oleh kedua ibu bapa angkatnya dan bergantung sepenuhnya pada alat bantuan pernafasan.

Kanak-kanak itu kemudian meninggal dunia kira-kira 12.45 tengah hari semalam dan bedah siasat terhadapnya dilakukan hari ini. – Bernama

Leave a Reply