Sarawak Bertemu JDT Tanpa Dua Pemain Utama

Sarawak Bertemu JDT Tanpa Dua Pemain Utama

KUCHING, 12 Julai — Pasukan Ngap Sayot bakal berhadapan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) tanpa dua pemain utamanya, Demerson Bruno Costa dan Mohd Hairol Mokhtar yang masing-masing cedera dan digantung.

Perlawanan di antara pendahulu Liga Super itu dan Sarawak akan diadakan Sabtu ini di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Johor.

Jurulatih pasukan Sarawak David Usop berkata kecederaan yang dialami Demerson serius dan mungkin terpaksa berehat beberapa minggu manakala Mohd Hairol dibuang padang semasa perlawanan Liga Super menentang Felda United malam semalam.

Seorang lagi pemain import Sarawak, Matthew Roskan tidak begitu cergas kerana baru pulih daripada kecederaan.

“Saya menjangkakan perlawanan yang sangat sukar menentang JDT memandangkan Demerson dan Mohd Hairol serta Roskam tidak berada dalam barisan permulaan,” katanya.

 

Usop juga tidak berpuas hati dengan tindakan Mohd Hairol sehingga dilayangkan kad merah.

“Pasukan memerlukan pemain berpengalaman seperti Mohd Hairol. Penggantungannya melemahkan pasukan,” katanya.

Sarawak tewas 0-4 kepada JDT pada perlawanan Piala Malaysia dan kalah 1-3 dengan Felda United pada perlawanan Liga Super di Stadium Negeri di sini malam semalam.

Usop mengakui pertahanan Sarawak agak lemah dan penyerang muda mereka tidak tangkas di hadapan gol serta tidak dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Roskam.

Sarawak berada pada kedudukan ke-10 dengan 14 mata. Ngap Sayot kini berusaha untuk terus bertahan dalam Liga Super.

Leave a Reply