Mesyuarat Bahagian UMNO Diminta Beri Fokus Utarakan Usul Kepentingan dan Kesejahteraan Rakyat

Mesyuarat Bahagian UMNO Diminta Beri Fokus Utarakan Usul Kepentingan dan Kesejahteraan Rakyat

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Mesyuarat Perwakilan Bahagian UMNO yang sedang berlangsung sekarang ini adalah peluang kepada pucuk pimpinan dan ahli-ahli peringkat akar umbi untuk memberi fokus dan penekanan bagi mengutarakan usul-usul berkualiti dan lebih banyak menyentuh kepentingan, keperluan dan kesejahteraan rakyat, kata Setiausaha Biro Perlembagaan dan Perundangan UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin.

Ini kerana, katanya, persidangan tersebut bukan sahaja bakal menentukan hala tuju Perhimpunan Agung UMNO 2017, tetapi juga bakal memberi kesan terhadap strategi dan persediaan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kelak.

“Tahun ini merupakan tahun ketiga Biro Perlembagaan dan Perundangan UMNO mengurus tadbir usul-usul Bahagian dan pihak sekretariat telah menghantar kesemua usul tersebut kepada pihak Kementerian dan agensi yang terlibat bagi mendapatkan maklum balas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maklum beliau, sehingga 24 Oktober 2016, pihak Ibu Pejabat UMNO telah menerima 681 usul dari 191 Bahagian UMNO di seluruh negara yang telah diluluskan oleh Perwakilan Bahagian masing-masing.

Daripada jumlah tersebut, 510 usul diterima untuk rujukan, 171 usul diterima tanpa bahas dan tiada usul yang ditolak sementara 510 usul diterima untuk rujukan ini melibatkan 108 usul politik, 29 usul ekonomi, 62 usul agama, 83 usul sosial, 98 usul pendidikan, 10 usul melibatkan pindaan perlembagaan dan 120 lain-lain usul.

“Maklum balas dari kementerian dan agensi yang terlibat telah diperolehi dan disemak serta telah dihantar kepada bahagian-bahagian pada 3 Julai 2017 iaitu sebelum mesyuarat perwakilan bahagian di seluruh negara bermula dari 7 Julai 2017 sehingga 26 Ogos 2017.

“Penghantaran usul-usul ini telah dibuat menggunakan kaedah pos, e-mel, faks dan aplikasi ‘whats App’.”

Dalam masa yang sama, beliau mewakili seluruh Ahli Jawatankuasa Penyediaan Usul melahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kesemua 191 Bahagian UMNO di seluruh negara dan mengucapkan selamat bersidang.

Leave a Reply