Mahathir Memasang Perangkap Buat Anwar Ibrahim Kali Kedua

Mahathir Memasang Perangkap Buat Anwar Ibrahim Kali Kedua

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Kenyataan Tun Dr. Mahathir yang diterbitkan oleh The Guardian UK yang kini menyokong pula Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri jelas menunjukkan keperibadian beliau yang sanggup menghalalkan apa sahaja demi mencapai kepentingan peribadi beliau, ujar Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Tambahnya, Tun Dr. Mahathir sendiri pernah mengatakan pada tahun 1998 bahawa Anwar Ibrahim tidak layak bukan sahaja untuk menjadi Perdana Menteri malah menjadi pemimpin atas salah laku yang tidak bermoral.

“Malahan, Tun M sekali lagi telah mengingatkan kepada rakyat pada tahun 2013 akan bahaya sekiranya memilih Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan jangan berikan peluang langsung sekiranya tidak mahu melihat negara dimusnahkan.

Tetapi apa yang kita saksikan pada hari ini, Tun M telah menyatakan sokongan beliau terhadap Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan bagi saya ini merupakan satu helah licik untuk mendapatkan sokongan ahli parti pembangkang seperti DAP, PKR dan PAN untuk menyelamatkan beliau dari hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) seperti mana yang disebut oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak di blog beliau.

Tun M sebenarnya semakin terdesak dengan penubuhan RCI bagi menyiasat kerugian forex berjumlah RM30 bilion oleh Bank Negara semasa beliau menjadi Perdana Menteri sebagaimana dinyatakan dalam laporan Petugas Khas,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dalam masa yang sama, Straits Times Singapura menerbitkan kenyataan beliau bahawa sekiranya pembangkang menang pada pilihanraya akan datang, Anwar Ibrahim tidak boleh terus menjadi Perdana Menteri kerana masih di penjara.

Maka, seorang Perdana Menteri ‘Interim’ diperlukan sementara menunggu permohonan pembangkang untuk mendapatkan pengampunan diraja untuk Anwar Ibrahim.

“Persoalannya, siapakah Perdana Menteri ‘Interim’ tersebut?

Sekiranya Mukhriz hendak dijadikan Perdana Menteri ‘Interim’, maka jerat Tun Mahathir berjaya.

Tidak mungkin apabila Mukhriz telah dijadikan Perdana Menteri, Tun M akan memberi laluan kepada individu lain, terutamanya musuh politik beliau selama 18 tahun, Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Adakah Anwar Ibrahim akan terjerat dengan permainan Mahathir buat kali kedua?,” tambahnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Sri Gading.

Leave a Reply