UMNO Muar Bersedia Hadapi Siapa Sahaja – Razali

UMNO Muar Bersedia Hadapi Siapa Sahaja – Razali

MUAR, 9 Julai: Ura-ura Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertanding di Parlimen Muar pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU 14) disifatkan hanya untuk menyambung hayat politiknya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim, berkata UMNO Muar bersedia berhadapan dengan siapa juga calon pembangkang termasuk ketua pembangkang jika mereka bercadang bertanding di sini.

Beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Muar berkata, pihaknya akan terus berusaha gigih bagi menghadapi apa jua cabaran termasuk pemimpin pembangkang yang mahu bertanding di kawasan Muar.

“Namun, secara peribadi kalau diberi peluang menjadi calon, saya sama sekali tidak akan tinggalkan kawasan Muar dan pergi ke tempat di mana saya boleh menang mudah.

“Saya tak akan pergi ke tempat lain hanya kerana nak kekalkan kedudukan saya untuk terus jadi wakil rakyat.

“Adalah menjadi persoalan dan tanda tanya apa akan jadi dengan orang Pagoh Keduanya, kenapa Muar adakah Muhyiddin marah pada saya dan ada perkara tak betul yang saya buat, tapi jika beliau marah orang lain kenapa Muar jadi sasarannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Muar di Bangunan UMNO Muar, di sini, hari ini. Hadir sama, Timbalan Ketua Bahagian UMNO Muar, Datuk Ashari Md Sarip.

Ura-ura Muhyiddin bakal bertanding di Parlimen Muar semakin hangat diperkatakan apabila pelbagai portal politik mula melaporkannya sejak tahun lalu.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh selama lima penggal itu bukanlah orang asing di Muar, malah abang sulungnya Tan Sri Abdul Aziz Yassin adalah bekas wakil rakyat Muar pada tahun 90-an dan pernah menjadi Ketua Bahagian UMNO.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply