Johor Pertimbang Tambah Ketua Masyarakat Sarawak Di Negeri Itu

Johor Pertimbang Tambah Ketua Masyarakat Sarawak Di Negeri Itu

JOHOR BAHRU, 9 Julai — Kerajaan negeri bersedia untuk menambah bilangan ketua masyarakat Sarawak di sini sekiranya jumlah sedia ada tidak mencukupi, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya dianggarkan terdapat kira-kira 35,000 warga Sarawak menetap di Johor ketika ini terutama di kawasan Pasir Gudang dan mereka diwakili oleh seorang ketua masyarakat yang dilantik kerajaan negeri serta menerima elaun.

“Jika tidak cukup, insya-Allah kita bersedia menambah jumlah ketua masyarakat yang dapat memberi perhatian dan membantu kerajaan negeri menyelesaikan semua isu dan masalah yang dihadapi oleh masyarakat Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengerami Ngiling Bidai 2017 (Majlis Penutup Pesta Gawai) di Pasar Borneo, Taman Kota Puteri Masai di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas,  Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak Snowdan Lawan dan Pengerusi Persatuan Borneo Johor  Donny Linan.

Sementara itu,   Mohamed Khaled menggesa masyarakat Sarawak agar terus bersama kerajaan Johor dalam merealisasikan aspirasi menjadikan negeri itu sebagai kuasa ekonomi baharu di Malaysia dan rantau ini.

“Jika ini dapat dilakukan, maka kita akan lahirkan banyak peluang (ekonomi) yang boleh direbut dan diambil manfaat oleh semua yang ada di Johor termasuk masyarakat Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Uggah berkata segala jasa dan bantuan yang disalurkan kerajaan negeri Johor kepada masyarakat Sarawak selama ini harus dibalas dengan menyokong Menteri Besarnya pada pilihan raya umum akan datang.

“Atas dasar keprihatinan beliaulah (Khaled Nordin) anak Sarawak ada kerja, ada tempat berniaga untuk mencari pendapatan di sini.

“Jadi, saya berharap apabila kita semua mengundi, jangan lupa memilih parti yang dapat mentadbir negeri dan negara secara efisien,” katanya.

Leave a Reply