UMNO: Jangan Jadi Si Kitul Moden – Noh

UMNO: Jangan Jadi Si Kitul Moden – Noh

BATU PAHAT, 8 Julai — Pemimpin dan anggota UMNO yang tidak dipilih sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) diingatkan supaya tidak menjadi ‘Si Kitul Moden’ sehingga membawa kepada kejatuhan parti.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Noh Omar berkata mereka yang tidak dipilih sebagai calon perlulah reda kerana perjuangan mereka bukan setakat menjadi calon malah untuk memastikan dasar-dasar parti dilaksanakan .

“Siapa yang tidak dipilih kena reda…jangan sesekali sabotaj parti. Bagi yang kena gugur, janganlah kecil hati dan berilah sokongan kepada calon dipilih.

“Janganlah bila kita tidak terpilih, kita tidak mahu menyokong orang yang sebelum ini menyokong kita.

“Saya berharap tiada yang menjadi ‘Si Kitul Moden’, yang akibat tidak berpuas hati, sanggup membuat apa sahaja untuk melihat kejatuhan parti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita UMNO Bahagian Parit Sulong di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pemimpin UMNO yang tidak dipilih menjadi calon PRU14 supaya reda dan terus istiqamah dengan perjuangan UMNO.

Semasa berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat, beliau berkata ini kerana faktor personaliti ‘disukai’ akan menjadi tunjang utama pemilihan calon PRU14 selain faktor ‘pasti menang’.

Leave a Reply