Sebanyak 264 Rumah Mampu Milik Johor Berstatus Bumiputera Belum Terjual

Sebanyak 264 Rumah Mampu Milik Johor Berstatus Bumiputera Belum Terjual

KLUANG, 8 Julai – Sebanyak 264 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) jenis strata  Bumiputera belum terjual sejak setahun lalu berikutan trend pembeli yang lebih cenderung dengan rumah teres.

Harga rumah strata yang ditawarkan pula serendah RM150,000 seunit.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday berkata   ramai  pemaju berdepan dengan kesulitan gara-gara perkembangan itu kerana tidak dapat membuat pusingan kewangan bagi menjalankan projek perumahan lain.

Oleh itu, katanya, pihaknya akan berjumpa dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA)  pada 16 Julai ini bagi membincangkan tentang tempoh pelepasan rumah kuota Bumiputera dan tempoh menunggu pemaju.

“Pemaju-pemaju ini telah banyak memberi bantuan kepada kerajaan negeri dan tidak adil sekiranya mereka dipaksa untuk menunggu dalam tempoh yang begitu lama,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini, hari ini.

Dasar perumahan sedia ada mewajibkan tempoh menunggu selama sembilan bulan yang kemudian dilanjutkan sehingga 12 bulan, sebelum kuota Bumiputera boleh ditukar kepada status kuota perumahan awam.

Berdasarkan statistik, setakat ini, terdapat 218 unit rumah strata di Taman Molek Mukim Plentong  Johor  Bahru dan 332 unit di Taman Denai Nusantara Johor Bahru Mukim Tanjung Kupang yang belum terjual.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 264 unit merupakan kuota Bumiputera.

Sementara itu, bagi hartanah kuota Bumiputera yang berharga RM200,000 dan ke atas,  terdapat 88,558 unit pelbagai kategori masih belum terjual khususnya pangsapuri.

“Terdapat 6,433 unit pangsapuri, 15,539 unit pangsapuri servis dan 46,844 unit rumah teres pelbagai kategori serta 11,480 unit kedai pejabat kuota Bumiputera yang masih belum terjual dan ini juga memberi kesan kepada pemaju-pemaju.

Jadi, kita akan lihat keadaan pasaran sehingga akhir tahun ini bagaimana, sekiranya tidak ada sebarang perubahan maka kita terpaksa membuat perubahan,” katanya. -Bernama

2 Responses to "Sebanyak 264 Rumah Mampu Milik Johor Berstatus Bumiputera Belum Terjual"

  1. mohd sabri kassim   09 Jul 2017 at 1:52 am

    Kenapa tidak mendahulukan pembangunan perumahan mengikut permintaan dan kemampuan rakyat yang bergaji bawah rm2000.
    Untuk mengatasi masalah rumah yg tiada pembeli tersebut.pihak kerajaan seharusnya tidak perlu lagi membina kuarters2 bagi kakitangan kerajaan bagi kawasan tersebut Dan yang berhampiran dengannya.sebaliknya menyarankan kakitangan kerajaan yang tiada rumah untuk membeli rumah2 tersebut. Dengan Cara ini bukan saja dapat mengatasi masalah rumah tiada pembeli,malah dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan mendidik kakitangan kerajaan supaya lebih berdikari.

    Reply
  2. Fatimah bt Mansot   10 Jul 2017 at 4:45 pm

    saya seorang pesara kerajaan. pencen bulanan Rm2,000 +. saya berminat utk memohon.

    Reply

Leave a Reply