Johor Kenakan Caj Pemajuan Terhadap Perubahan Guna Tanah Bermula 1 September

Johor Kenakan Caj Pemajuan Terhadap Perubahan Guna Tanah Bermula 1 September

KLUANG, 8 Julai – Kerajaan Negeri Johor akan mengenakan Caj Pemajuan terhadap setiap  perubahan guna tanah yang dibangunkan berkuatkuasa 1 September ini.

Langkah ini sebagai meningkatkan hasil pendapatan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang kemudian   boleh diguna untuk menambah baik infrastruktur awam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Md Jais Sarday berkata caj itu yang sudah diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri pada 4 Julai, terpakai untuk Perubahan Penggunaan Tanah, Perubahan Ketumpatan (Kepadatan) dan Perubahan Luas Lantai.

Katanya, caj ini adalah satu bentuk bayaran yang diperuntukkan di bawah Seksyen 32 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan (PBPT)  terhadap pemohon atau pemilik tanah.

“Contohnya, caj akan dikenakan sekiranya sesebuah tanah itu dahulunya didaftarkan sebagai tanah status pertanian dan ia mahu ditukar kepada status perumahan,  atau sesebuah kawasan perumahan itu ditambah dengan pembinaan yang meningkatkan kepadatan perumahan atau pertambahan tingkat bangunan pada rumah strata,” katanya.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini, hari ini.

Menurut beliau, caj serupa telah dilaksanakan di negeri-negeri lain termasuk Selangor pada 2010, Perak (2012), Kelantan dan Kedah (2015).

Katanya, caj itu ditetapkan mengikut lokasi tanah dan penggunaanya iaitu sebanyak 30 peratus  bagi  tanah di kawasan Zon Antarabangsa, 15 peratus (kawasan Majlis Bandaraya dan PBT yang bertaraf  perbandaran)  serta 10 peratus (kawasan PBT bertaraf daerah).

Setakat ini, hanya terdapat tiga PBT mempunyai Zon Antarabangsa iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang dengan jumlah keluasan tanah 11,520.7 hektar.

“Kita hanya akan mengenakan caj ini berkuatkuasa 1 September, jadi pemaju-pemaju mempunyai masa lebih kurang dua bulan untuk membuat sebarang permohonan,” katanya.

Dalam pada itu, Md Jais berkata kerajaan negeri kini sedang sedang menyiapkan lima Rancangan Tempatan bagi lima daerah iaitu Tangkak, Mersing, Kota Tinggi, Johor Bahru-Kulai dan Batu Pahat-Pontian yang akan mula diwartakan pada 1 Januari depan. -Bernama

Leave a Reply