Hishammuddin Persoal Pendirian Dr Mahathir Berkaitan Anwar

Hishammuddin Persoal Pendirian Dr Mahathir Berkaitan Anwar

KOTA BHARU, 8 Julai — Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempersoalkan adakah  bekas perdana menteri , Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi mengambil kira isu moral yang dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usahanya untuk berbaik semula dengan bekas timbalannya itu.

Beliau berkata hujah yang digunakan oleh Dr Mahathir semasa hendak menyingkirkan Anwar daripada arena politik dahulu adalah berkaitan isu moral.

“Satu perkara yang dikatakan Dr Mahathir kepada saya dahulu bahawa Anwar tidak boleh diterima kerana isu moral, adakah isu moral tidak diambil kira sekarang ini sedangkan ia membabitkan orang yang sama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Ketereh, di Kadok, di sini, hari ini.

Hishammuddin menjelaskan semasa Dr Mahathir membuat keputusan untuk menyingkirkan Anwar, beliau (Hishammuddin) merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan diyakinkan oleh Dr Mahathir sebab-sebab Anwar perlu disingkirkan termasuk isu moral.

“Kita terpaksa meletakkan emosi kemarahan dan kekeliruan kita untuk menyokong Dr Mahathir yang merupakan presiden UMNO ketika itu dan satu-satu hujahnya (Dr Mahathir) ialah mesti bersetuju.

“Namun hari ini, pendiriannya tidak konsisten dan mungkin orang yang tidak terlibat ketika negara kita diporak peranda oleh gerakan reformasi dan sebagainya dan tidak mendengar sendiri hujah-hujah Dr Mahathir ketika itu mungkin akan terpengaruh,” katanya.

Hishammuddin berkata pihaknya akan membuat pendedahan dan penerangan terhadap hujah-hujah Dr Mahathir terdahulu yang sekarang ini ibarat ‘cakap tidak serupa bikin’ agar rakyat tidak terkeliru.

Terdahulu, semasa berucap pada majlis tersebut, beliau mahu pemimpin dan anggota UMNO menggunakan peluang persidangan igtu untuk memperkasakan perpaduan dan menyemarakkan perjuangan parti tersebut.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO ,Tan Sri Annuar Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh, mahu seluruh anggota parti itu meningkatkan solidariti dan memperkasakan wala kepada pemimpin dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau mahu mereka mengambil peluang pada persdiangan perwakilan di seluruh negara sekarang ini untuk menyemarakan semangat dan roh perjuangan parti untuk atasi politik membenci dan fitnah.

Selain itu, beliau mahukan mereka menekankan kepada strategi dan sikap mahu menang  bagi menghadapi PRU14.

Leave a Reply