Dakwaan Mahathir Mengenai Anwar Hanya Memakan Diri – Azalina

Dakwaan Mahathir Mengenai Anwar Hanya Memakan Diri – Azalina

KUALA LUMPUR, 7 Julai  — Dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah mangsa dendam politik, hanya memakan diri bekas perdana menteri itu sendiri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau menyoal sama ada Dr Mahathir lupa mengenai penyingkiran Anwar daripada pentadbiran kerajaan yang diterajuinya pada 1998.

Selain itu, Anwar kini menjalani hukuman atas sebab peribadi mengikut kesalahan jenayah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, kata Azalina sambil menjelaskan tidak timbul persoalan Anwar menjadi mangsa dendam politik seperti yang didakwa Dr Mahathir.

“Anwar Ibrahim telah melalui semua proses yang dibenarkan di bawah undang-undang untuk mempertahankan diri beliau termasuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Pengampunan,” katanya semasa mengulas dakwaan Dr Mahathir itu dilaporkan akhbar The Guardian semalam.

Azalina berkata tuduhan Dr Mahathir kononnya terdapat campur tangan dalam keputusan kes liwat Anwar juga secara langsung mempersoal kebebasan dan integriti badan kehakiman selain merupakan satu penghinaan kepada perundangan dan sistem demokrasi negara.

Beliau turut mendakwa Dr Mahathir, yang kerap membuat pusingan ?U’ selepas mengeluarkan kenyataan, menunjukkan sikap sebenar pembangkang yang sanggup menggadai prinsip hanya kerana mahu memenuhi kepentingan peribadi.

Leave a Reply