Apa SOP DoJ gunakan dalam isu 1MDB, soal MT UMNO

Apa SOP DoJ gunakan dalam isu 1MDB, soal MT UMNO

 

BATU PAHAT, 6 Julai – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ab Aziz Kaprawi mempersoalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat dalam isu 1MDB susulan beberapa kejanggalan yang berlaku.

Selain SOP yang tidak jelas, Ab Aziz turut mempersoalkan integriti dan ‘good governance’ DoJ, sambil menegaskan saman sivil yang dikemukakan DoJ baru-baru ini bermotifkan politik yang dimainkan pihak tertentu.

Dalam satu kenyataan, Ketua UMNO bahagian Sri Gading tersebut berkata akta kleptokrasi yang digunakan DoJ itu sendiri dikritik sesetengah pihak kerana ia digunakan menjadi lesen untuk badan tersebut merampas harta milik negara serta individu lain.

Beliau turut menegaskan saman sivil terbaru dikemukakan DoJ merupakan suatu tindakan memalukan kerana ia bertindak terhadap maklumat yang tidak tepat dan tidak sah.

“Pihak DoJ juga sekiranya ingin membuka fail siasatan saman sivil ini perlu menjalankan secara menyeluruh dan bukannya sekadar menerima laporan daripada pihak yang tidak dikenali mahupun mendapat petunjuk daripada portal online yang tidak sah dan mempunyai kecenderungan terhadap parti pembangkang iaitu Sarawak Report,” kata Ab Aziz, yang juga merupakan Timbalan Menteri Pengangkutan.

Beliau menambah bahawa saman tersebut merupakan perkara janggal ekoran kegagalan DoJ untuk merujuk kepada 1MDB serta presidennya sendiri sebelum mengemukakannya.

Ini kerana, menurut Ab Aziz, DoJ menamakan 1MDB sebagai mangsa dalam kes namun pandangannya tidak diambil kira sebelum saman sivil tersebut dibuat.

Ahli kabinet tersebut turut mengulangi pendirian kerajaan bahawa agensi penguatkuasa di Malaysia telahpun menjalankan siasatan penuh terhadap 1MDB dan membebaskannya dari sebarang salah laku jenayah.

“Ini jelas menunjukkan bahawa terdapat usaha campur tangan kuasa asing untuk menggugat kestabilan negara kita dan sejarah telah menunjukkan bahawa hampir semua negara yang mempunyai campur tangan Amerika Syarikat telah musnah keharmonian dan terjejas teruk kestabilan negara tersebut.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar menolak campur tangan kuasa asing ini yang tidak lain hanya bertujuan untuk mensabotaj kestabilan politik dan ekonomi negara kita.”

DoJ mengemukakan saman sivil kedua bulan lalu bagi mendapatkan semula aset-aset yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB, selepas setahun saman sivil asal difailkan badan tersebut pada Julai 2016.

One Response to "Apa SOP DoJ gunakan dalam isu 1MDB, soal MT UMNO"

  1. Halim Tuah   06 Jul 2017 at 9:55 am

    Sejak bila Amerika berniat baik membela rakyat negara Islam/Malaysia?

    Siapa yang percaya kepada tindakan Amerika ini yang pasti ialah otaknya telah terjatuh dari tengkorak kepala ke kepala lutut!

    Reply

Leave a Reply