Lebih 20,000 Rakyat Meriahkan Rumah Terbuka Sultan Johor

Lebih 20,000 Rakyat Meriahkan Rumah Terbuka Sultan Johor

JOHOR BAHRU, 26 Jun — Cuaca panas tidak menghalang lebih daripada 20,000 rakyat menghadiri Rumah Terbuka Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bersempena Aidilfitri di Istana Pasir Pelangi dekat sini, hari ini.

Sultan Ibrahim tiba di majlis itu kira-kira 11 pagi dan diringi oleh Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah serta putera dan puteri baginda.

Baginda sempat meluangkan masa bergambar dan bersalaman dengan pengunjung, sebelum menjemput orang ramai menikmati pelbagai juadah yang disediakan termasuk nasi beriani, rendang, ketupat dan makanan lain.

Fauzi Shabri, 40, yang berasal dari Selangor sanggup datang ke rumah terbuka itu semata-mata untuk bertemu dengan Sultan Johor.

“Saya datang ke Johor ini kebetulan hendak lawat saudara-mara juga kerana ibu adalah orang sini. Jadi dalam beraya itu saya ambil keputusan untuk datang dan tidak sangka ia meriah dan lebih mengujakan dapat berjumpa dengan Sultan,” katanya.

Tan Yock Lian, 57, pula berkata ini adalah kali pertama dia menghadiri rumah terbuka dan merasakan ia unik, bertepatan dengan slogan 1Malaysia.

“Sebagai 1Malaysia, kita menyambutnya bersama-sama. Tambahan, makanan di sini sedap belaka dan tahun depan, saya ingin datang lagi,” katanya. -Bernama

Leave a Reply