Sumber saman DOJ mencurigakan

Sumber saman DOJ mencurigakan

Sumber saman DOJ mencurigakan

Saman sivil kedua Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) amat mencurigakan kerana ia dibuat berdasarkan laporan pihak yang tidak dikenali.

Menurut Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Ab Aziz Kaprawi, kenyataan badan tersebut mengenai isu kleptokrasi yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan “muslihat pihak tertentu untuk dijadikan buah mulut rakyat semasa sambutan Aidilfitri.”

Ab Aziz, yang juga merupakan timbalan menteri pengangkutan berkata apa yang lebih mencurigakan ialah kegagalan DOJ untuk memanggil 1MDB sendiri untuk memberikan keterangan walaupun dikatakan wang syarikat tersebut telah diseleweng.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Sri Gading tersebut, terdapat pihak yang sengaja mengaitkan Perdana Menteri Najib Razak dengan isu kleptokrasi.

“Pihak DoJ sekali lagi gagal untuk menyebut secara jelas nama perdana menteri dan isteri sebagai defendan,” Ahli Majlis Tertinggi UMNO tersebut berkata.

Ab Aziz juga berkata agensi-agensi dalam negara sendiri sudah merumuskan bahawa Najib bebas dari sebarang salah laku transaksi kewangan 1MDB.

“Kita seharusnya berpegang kepada siasatan yang telah dijalankan oleh penguatkuasa dalam negara seperti SPRM, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Audit Negara dan juga Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).”

Beliau juga menyatakan bahawa isu ini terus dimainkan pihak pembangkang yang terdesak ekoran ketandusan isu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Malahan, indikator-indikator perkembangan ekonomi dan kewangan negara semakin menggalakkan mejadi bukti kepada kejayaan perdana menteri mengurus ekonomi negara dengan baik serta mengurus keperluan rakyat sehingga ke akar umbi.”

Beliau turut menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat segera laporan Exco Armada Bersatu yang mengatakan terdapat usaha melobi DoJ untuk membawa kes ini ke hadapan.

DOJ mengemukakan saman sivil kedua baru-baru ini bagi mendapatkan semula aset-aset yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Leave a Reply