Hanya 20 Peratus Pegawai, Anggota JBPM Bercuti

Hanya 20 Peratus Pegawai, Anggota JBPM Bercuti

KOTA TINGGI, 19 Jun — Hanya 20 peratus anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seluruh negara dibenarkan bercuti menyambut Aidilfitri tahun ini.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata 80 peratus daripada 13,000 anggota dan pegawai JBPM akan bertugas seperti biasa.

Angka tersebut dipercayai cukup untuk berdepan sebarang situasi termasuk banjir dan bersiap sedia dalam Op Raya yang akan berakhir pada 2 Julai ini.

“Ini merupakan pengorbanan yang dilakukan anggota bomba untuk menjaga keselamatan masyarakat dan dengan rela hati bertugas pada Hari Raya Aidilfitri ini.

“Kita ucapkan terima kasih dan penghargaan kepada anggota bomba atas pengorbanan yang dilakukan,” katanya.

Halimah yang juga Anggota Parlimen Tenggara ditemui pemberita pada Majlis Ihya Ramadan Bersama Pemimpin Masyarakat Tenggara di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi di sini.

Mengulas tentang Op Raya yang dilancarkan baru-baru ini, beliau berkata, 19 lokasi ‘panas’ yang menjadi tumpuan dalam operasi berkenaan dikenal pasti berdasarkan pengalaman JBPM sendiri dalam mengendalikan kes kemalangan.

Beliau berkata, lokasi tumpuan iaitu 15 di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dan empat di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) itu, merupakan kawasan yang akan menerima jumlah kenderaan yang banyak pada setiap musim perayaan.

“Kita juga harap orang ramai yang hendak pulang berhari raya rancang perjalanan anda, periksa kenderaan dan pastikan dalam kenderaan ada alat pemadam api kecil yang boleh digunakan ketika kecemasan,” katanya.

Terdahulu, Halimah menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada pemimpin masyarakat dalam Parlimen Tenggara selain turut meraikan rakan media yang hadir.

Leave a Reply