“Rock Solid Pink Run” Usaha Puteri UMNO Perjuang Kempen Kesedaran Isu Keselamatan Kanak-Kanak

“Rock Solid Pink Run” Usaha Puteri UMNO Perjuang Kempen Kesedaran Isu Keselamatan Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Program “Rock Solid Pink Run” anjuran Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang akan diadakan pada 30 Julai ini merupakan usaha Puteri UMNO dalam memperjuangkan kempen kesedaran terhadap isu keselamatan dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di mana isu ini sama sekali tidak ada kaitan dengan politik.

Setiausahanya, Datuk Fahariyah Nordin berkata, kempen ini harus diperjuangkan oleh seluruh rakyat negara ini tanpa memandang idealogi politik mereka.

“Namun  program nampaknya telah mengundang kontroversi negatif apabila salah satu NGO yang terlibat adalah Sister In Islam (SIS).

“Sebagaimana semangat awal penubuhan Puteri yang membenarkan Puteri bergerak dengan acuannya sendiri maka tidak ada salahnya sekiranya Puteri bekerjasama dengan SIS kerana Puteri tidak berpolitik setiap masa malah Puteri matang dalam berpolitik”, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Justeru jelas beliau kerjasama ini menunjukkan sikap keterbukaan Puteri dalam memperjuangkan sesuatu isu untuk rakyat.

“Oleh itu saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar lebih berfikiran terbuka dan berpandangan secara positif agar kempen ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa Pergerakan Puteri UMNO sama sekali tidak menyokong liberalisme dlm perjuangan SIS tetapi keterlibatan SIS adalah demi menghentikan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Marilah kita ketepikan soal politik demi keselamatan dan masa depan anak-anak kita,” tambahnya yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Ledang.

Leave a Reply